Berita

Peluang kerja sektor awam semakin berkurang, rakyat terperangkap dengan gaji rendah

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Permintaan kemasukan ke sektor awam negara ini yang lebih tinggi berbanding peluang pekerjaan yang ditawarkan menyebabkan ramai rakyat Malaysia gagal memasuki sektor tersebut.

Walaupun terhad, sektor tersebut terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dengan tawaran faedah pekerjaan yang baik seperti skim kesihatan, persaraan dan elaun yang baik berbanding sektor swasta negara ini.

Menurut Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming, dari tahun 2011 ke 2015, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah menerima lebih daripada 1 juta permohonan dalam sektor awam dan terus melonjak kepada 2.1 juta permohonan pada tahun 2013 sebelum mencatat penurunan kepada 1.59 juta pada 2014 dan meningkat kepada 1.63 pada 2015.

Slide1“Jumlah permohonan ke sektor awam ini amat tinggi jika dibandingkan dengan 1.6 juta penjawat awam sedia ada,” kata beliau.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan terhadap sasaran Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan pada tahun 2010 melalui petunjuk prestasi untuk mewujudkan tambahan 3.3 juta peluang pekerjaan menjelang 2020 dengan perolehan pendapatan sederhana dan tinggi.

“Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata Malaysia telah keluar dari perangkap pendapatan sederhana.

“Namun, dapatan daripada analisa mendalam terhadap angka-angka tawaran pekerjaan menunjukkan sebaliknya,” ujarnya.

Apa yang lebih membimbangkan jelas Kian Ming adalah wujudnya pengurangan tawaran kerja dalam sektor itu daripada 46,503 kekosongan pada tahun 2011 kepada hanya 30,964 jawatan pada 2015 menjadikan peratusan penurunan 4.1 peratus pada 2011 ke 1.9 peratus pada 2011.

“Ini bermakna hanya sebahagian kecil sahaja permohonan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam. Persoalannya, apa yang sedang dilakukan para pemohon yang gagal?” soal Dr Ong.

Tambahan pula 54 peratus lantikan sektor awam pada tahun 2015 dalam bidang yang memerlukan kelayakan yang lebih rendah di tahap PMR, SPM dan Sijil menunjukkan masih ramai kakitangan awam berada pada pendapatan yang rendah.

Slide1

Ia sekaligus menunjukkan mereka yang lebih berpeluang untuk bekerja dalam sektor itu adalah mereka yang berkelayakan rendah sejajar dengan jawatan yang ditawarkan.

Situasi ini jelas beliau tidak memeranjatkan memandangkan semakin banyak jawatan dengan kelayakan rendah telah diambil oleh pekerja asing.

“Satu-satunya bahagian yang mereka tidak boleh ceburi adalah dalam sektor awam, permohonan dan lantikan yang tinggi juga berada di tahap ini,” ujarnya.

Berdasarkan kesimpulan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, Dr Ong menyatakan Malaysia mungkin sudah melepasi middle income trap.

“Ia hanya berlaku ke atas 20 hingga 30 peratus golongan berpendapatan tinggi dan perniagaan yang memperoleh keuntungan besar tetapi perolehan itu tidak dikongsikan bersama dengan golongan pekerja khususnya bagi golongan pekerja bawahan.

“Pergelutan 40 peratus pekerja bawahan untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana akan terus berlaku dan kebanyakan mereka masih berharap untuk mendapatkan faedah dan pelbagai jaminan yang diperoleh jika dapat memasuki sektor awam yang semakin sukar,” jelas Dr Ong. – Roketkini.com