Berita

DAP kemuka garis panduan elak rasuah bina ‘Taman Tugu’

KUALA LUMPUR, 6 SEP: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, hari ni mengalu-alukan projek menaiktaraf kawasan Tugu Negara sebagai Taman Tugu seluas 66 ekar sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 4 September baru-baru ini.

Bagaimanapun, sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, beliau berkata cadangan rakyat kawasan Segambut perlulah diambil kira sebelum projek bernilai RM650 juta itu dilaksanakan.

Cadangan pertama ialah meminta kerajaan membentangkan belanjawan terperinci bagi projek tersebut kepada semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur, selain badan serta pertubuhan alam sekitar seperti Malaysian Nature Society, WWF Malaysia dan sebagainya.

Jelas Lip Eng, belanjawan terperinci itu bertujuan untuk memberikan justifikasi terhadap kos naiktaraf kawasan tersebut yang dilihat tinggi.

“Kedua, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mesti memberi jaminan bahawa projek ini dilaksana tanpa menjejaskan ruang-ruang awam lain di ibukota, seperti Bukit Kiara dan Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail,” pinta Lip Eng.

Selain itu, beliau mahu syarikat yang menyumbang kepada projek itu mengemukakan dokumen undang-undang yang memperakui bahawa mereka tidak menerima sebarang pertukaran tanah atau perjanjian lain daripada kerajaan ekoran projek ini.

“Akhir sekali, Najib Razak mestilah menjamin untuk menggazet Taman Tugu seluas 66 ekar ini sebagai kawasan ‘green lung’ tetap agar tidak ada mana-mana pemaju atau ahli politik tamak cuba mencari untung,” jelasnya.

Merujuk kepada status haram Tugu Negara serta monumen dalam bentuk benda hidup seperti yang ditegaskan Mufti Perak Datuk Harussani Zakaria, Lip Eng mencadangkan supaya satu dialog terbuka diadakan dengan veteran tentera atau ahli keluarga yang berjuang dan telah gugur mempertahankan negara.

“Ia bagi menentukan sama ada Tugu Negara wajar dimusnahkan atau tidak serta untuk memberi kata putus kepada Harussani dan mereka yang sependapat dengannya,” katanya lagi. – Roketkini.com