Berita

#TangkapMO1: Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa disiasat, berhadapan hukuman penjara

KUALA LUMPUR, 6 SEP: Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAPSY Howard Lee Chuan How kini disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Ia berikutan ucapan yang dibuat dalam perhimpunan #TangkapMO1, 27 Ogos lalu disifatkan polis sebagai boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam.

Jika sabit kesalahan, Adun Pasir Pinji itu berhadapan dengan hukuman dua tahun penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Kami difahamkan daripada pegawai penyiasat bahawa terdapat kemungkinan saya akan didakwa mengikut Seksyen 505 (b), tetapi ini belum dilakukan lagi,” katanya kepada media selepas dipanggil polis di IPD Dang Wangi semalam.

Bagaimanapun beliau yang juga Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa mempertahankan ucapannya sebelum ini dengan gesaan supaya ‘Malaysian Official 1’ ditangkap.

Karakter ‘Malaysian Official 1’ yang diulang sebut 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika itu telah didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai tidak lain tidak bukan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

“Ini adalah hak anak-anak muda untuk mempunyai ruang untuk berkata apa sahaja yang mereka mahu.

“Saya fikir adalah penting kebebasan bersuara ditegakkan untuk semua anak muda dan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Selain Howard, 1 September lalu, pemimpin DAP yang telah dipanggil polis dan disiasat di bawah akta yang sama ialah Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong.

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof dan teman-teman lain seperti Luqman Nul Hakim, Aqilah Zainuzi, Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar turut dipanggil memberi keterangan.

Turut disiasat ialah penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Amir Abd Hadi, serta aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Maria Chin Abdullah dan Hishamuddin Rais, selain Sasterawan Negara Pak A. Samad Said yang dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, sekurang-kurangnya 3,000 individu dari pelbagai latar kaum, agama dan peringkat usia berarak ke Dataran Merdeka secara aman bagi menuntut supaya ‘MO1’ yang dikaitkan dengan penyelewengan dana awam 1MDB diberkas. – Roketkini.com