Berita

Beri lesen pinjaman kepada pemaju, apa ganjaran yang Noh Omar dapat?

KUALA LUMPUR, 9 SEP: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar disoal sama ada beliau ada mendapat apa-apa ‘faedah’ atau ‘keuntungan’ daripada cadangannya untuk membenarkan pemaju memberi pinjaman perumahan kepada pembeli.

“Apa yang beliau (Noh Omar) dapat daripada perjanjian ‘syaitan’ dengan para pemaju ini?

“Cadangannya itu ternyata bertujuan membantu pemaju untuk menjual rumah mereka pada harga yang melampau tinggi kepada pembeli yang tidak layak,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Menurut Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu, skim baru tersebut membenarkan pemaju berperanan sebagai ‘ah long’ berlesen, apatah lagi dengan kadar faedah yang tinggi, iaitu 12 hingga 18 peratus.

“Baru saja dua bulan kembali ke Kabinet, Noh Omar telah memperlihatkan agenda sebenarnya yang tidak peduli dengan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, serta mereka yang tidak mampu membeli rumah yang semakin mahal.

“Dengan mengambil alih peranan bank untuk menyediakan kemudahan pinjaman perumahan, adakah Noh Omar sedang bekerjasama dengan ‘ah long’ untuk menyediakan dana kepada pemaju yang sedang kesempitan wang?” soalnya, sinis.

Sehubungan itu, Lip Eng meminta Kabinet segera memberi respons berhubung cadangan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pasaran kewangan dan hartanah negara.

“Apa yang lebih penting lagi, adakah Kabinet menyokong cadangan ini?” ujarnya.

Noh Omar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor semalam mengejutkan ramai pihak apabila mencadangkan agar pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman wang, kononnya untuk membantu pembeli rumah yang sukar membuat pinjaman bank. – Roketkini.com