Berita

DAP mahu “Pertarungan Kluang” jadi pencetus perubahan politik nasional

JOHOR BAHRU, 14 SEP: DAP Johor mahu “Pertarungan Kluang” pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan datang menjadi batu loncatan buat rakyat Malaysia, khususnya warga negeri itu, dalam memahami isu yang menjadi dasar dan arah tuju politik negara masakini.

Pengerusinya Liew Chin Tong berkata pertarungan politik di Kluang itu adalah kelangsungan momentum daripada “Pertarungan Gelang Patah” yang telah mencetuskan dan menjadikan Johor sebagai sebuah “negeri barisan hadapan” dalam perubahan politik nasional tanah air.

“Jika rakyat Johor mengundi untuk perubahan secara besar-besaran, maka kerusi-kerusi marginal Barisan Nasional (BN) akan jatuh pada PRU14 nanti, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan gabungan kerajaan kleptokratiknya akan kehilangan kuasa sebagai kerajaan.

“Perubahan pertama dalam sejarah kerajaan Malaysia amat bergantung bagaimana undian rakyat Johor,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kluang dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Pertarungan Gelang Patah” telah menyaksikan pertembungan dua gergasi politik negara, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada PRU13 lepas. Abdul Ghani tewas kepada Kit Siang dengan 14,762 undi.

Pengisytiharan “Pertarungan Kluang”’ itu dibuat susulan pengumuman Pengerusi MCA Liow Tiong Lai pada Isnin berhubung pencalonan Gan Ping Sieu dan Chin Sim Lai sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kluang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol.

Sambil mengalu-alukan pencalonan tersebut, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan berharap kempen yang akan berlarutan sehingga PRU14 itu tidak dicemari dengan insiden memburuk-burukkan calon, sebaliknya menjadi model kempen contoh.

“Kami berharap ‘kempen berterusan’ yang panjang ini tidak akan menjadi kempen serangan peribadi tetapi kempen yang akan membentuk suatu pilihan bukan sahaja untuk rakyat Kluang tetapi untuk Rakyat Johor dan Malaysia.

“Kami juga berharap pihak lawan yang dihormati (Calon MCA) akan bersama-sama menjadikan kempen ini sebagai satu model kempen yang dapat dicontohi oleh pertandingan dan calon-calon yang lain,” katanya.

Chin Tong turut menyatakan kesediaan dirinya dan penyandang DUN Mengkibol, Tan Hong Pin untuk menghadapi calon-calon yang bakal mewakili BN berkenaan dalam mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka pada PRU lalu.

Malah, katanya, permulaan “Pertarungan Kluang” itu akan menjadi kayu ukur momentum politik perubahan dalam “menyalakan kembali harapan gerakan perubahan kebangsaan”. – Roketkini.com