Berita

Sempena Hari Malaysia, Guan Eng seru rakyat lawan rasuah pemerintah BN

GEORGETOWN, 15 SEP: Kegembiraan dalam menanti detik sambutan Hari Malaysia ke-53 yang akan tiba esok telah dicemari dengan pelbagai penyelewengan dan kebejatan berterusan barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai dasar dan melakukan tindak tanduk yang dilihat membelakangi hak asasi manusia dan amalan demokrasi yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ia terlihat jelas dalam ugutan yang ditimbulkan kerajaan terhadap penganjuran BERSIH 5 pada 19 November nanti, selain dakwaan persempadanan semula secara terancang Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dalam memastikan kemenangan berterusan BN.

“Malahan jaminan pendapatan hanya tinggal mimpi ekoran pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan kejatuhan nilai mata wang ringgit yang terjadi akibat skandal rasuah melibatkan 1MDB dan skandal derma RM4.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mengkritik cadangan BN untuk memberikan kebenaran kepada pemaju perumahan dalam menyediakan pinjaman kepada pembeli, yang mana disifatkannya sebagai cubaan untuk menerapkan budaya ‘Ah-long’ dalam pentadbiran negara.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersatu padu menentang amalan rasuah kerajaan BN serta dasarnya yang telah memusnahkan ekonomi negara dan meragut kebebasan bersuara.

“Hanya apabila kita bersatu bersama-sama mempertahankan kebebasan kita, hak kita, maruah kita dan keselamatan ekonomi, barulah kita boleh kekal dalam kemajuan sebagai satu negara, satu bangsa,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh itu. – Roketkini.com