Berita

PAS boleh mulakan dengan sertai Bersih 5, jika serius mahu sepakat

GEORGE TOWN, 16 SEP: DAP menyambut baik sebarang cadangan untuk membentuk kesepakatan secara bersama parti-parti pembangkang di negara ini dalam melaksanakan satu objektif utama iaitu menumbangkan regim UMNO dari tampuk pemerintahan negara.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari berkata, parti itu sentiasa konsisten terhadap matlamat besar untuk menyelamatkan negara daripada berterusan diperintah Datuk Seri Najib Razak yang mengamalkan pentadbiran ‘kuku besi’, sekaligus mahu menghidupkan kembali ideologi sebenar demokrasi yang menjadi tunjang Perlembagaan Persekutuan.

“Saya kira semua parti pembangkang harus bekerjasama dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang, sama ada kerjasama itu dari segi rasmi atau tidak,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS, Dr. Datuk Mahfodz Mohamed seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian semalam, yang bersetuju bahawa konsep satu lawan satu dalam PRU akan datang boleh membawa kemenangan besar buat pembangkang.

Bagaimanapun, Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, PAS harus menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap matlamat untuk menumbangkan regim BN tidak kira dengan apa cara sekalipun selagi ia mengikut lunas undang-undang, termasuk menyertai perhimpunan Bersih 5 bagi menuntut pengunduran Najib.

“Kami alu-alukan, jika mereka (PAS) sehaluan dengan gerakan untuk pembaharuan sistem pilihanraya serta perletakan jawatan Perdana Menteri yang jelas memudaratkan negara dengan pelbagai skandal kewangan yang menarik perhatian dunia dan mencetuskan siasatan pengubahan wang secara besar-besaran di Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura

“Jika tidak, maka apa yang mereka bangkang? Baik mereka sertai BN jika setuju dengan kepimpinan Najib,” katanya.

BERSIH 2.0 awal minggu ini telah sepakat untuk mengadakan perhimpunan kali kelima di ibu kota bagi mendesak pengunduran Najib dari kerusi kuasa eksekutif negara, selain menuntut reformasi pilihanraya yang lebih telus dan adil. – Roketkini.com