Rencana

Turunkan harga pengangkutan awam sebelum naikkan kadar parkir

Setiap hari sebanyak 3 juta kenderaan keluar masuk ke Kuala Lumpur, manakala jumlah petak parkir di dalam DBKL hanyalah 45,000 sahaja. Ia tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang keluar masuk.

DBKL cuba mengambil langkah yang tidak populis dengan menaikkan caj parkir sebanyak 150%, dan mengundang kecaman bukan sahaja penduduk di ibu kota, bahkan seluruh Malaysia. Langkah yang diambil ini bukan merupakan langkah terkebelakang, bahkan kebanyakan negara utama di dunia mengambil langkah yang sama bagi mengurangkan kesesakan lalulintas.

Kenaikan kadar bayaran parkir akan menjadi relevan sekiranya pengangkutan awam benar-benar efisyen.

Sebenarnya beberapa siri kenaikan harga minyak (sebelum harga minyak diapungkan) dan harga pengangkutan awam sebelum ini adalah bertujuan untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam yang ada sekarang. Namun ia masih tidak menampakkan hasil yang positif.

Baru-baru ini pengangkutan awam di ibu negara menjadi bahan jenaka yang menyebabkan pengguna terpaksa berjalan di atas landasan transit aliran ringan (LRT).

Kebetulan pada waktu berkenaan tayangan filem Korea – Train to Busan masih lagi berjalan, dan poster filem ini di atas landasan diolah dengan situasi yang berlaku di Malaysia.

Kuala Lumpur sedang menuju ke arah bandar yang berkonsepkan Transit Oriented Development. Namun dalam konteks di Malaysia, ia akan mengambil masa untuk perkara ini berhasil. Projek MRT yang ada sekarang juga di dalam proses untuk mengakses ke seluruh pelusuk Lembah Klang yang tidak terjangkau dengan aliran transit sebelum ini.

Kalau kita mengandaikan seorang pekerja tinggal di sekitar Kerinchi, mereka hanya perlu berjalan kaki dan akses ke Stesen Universiti atau Stesen Kerinchi untuk ke tempat kerja.

Sekiranya kita bicara tentang seorang pekerja yang perlu bergerak ke beberapa tempat mesyuarat di dalam Kuala Lumpur pada hari yang sama, memang pengangkutan awam agak sukar.

Sedikit masa lalu, ada sebuah kempen yang menggalakkan perkongsian kenderaan ke tempat kerja. Namun, kempen ini tidak meluas dan bertahan hanya beberapa ketika.

Pengguna masih mengira kos relatif yang lain termasuk waktu menunggu dan betapa penatnya mereka hendak berjalan ke stesen aliran ringan. Sekiranya kos itu berbaloi dengan kos hidup seharian, harga minyak dan peningkatan harga barang runcit, pengguna akan memilih pengangkutan awam.

Langkah pertama sebelum menaikkan harga parkir di Kuala Lumpur, DBKL dan agensi kerajaan yang lain harus berbincang bagi menurunkan harga pengangkutan awam.

Untuk rekod, tambang LRT dan Monorel meningkat hampir 100% pada 2 Disember 2015. – Roketkini.com

*Mohd Hafizan Mazuki adalah graduan Perancangan Bandar dan Wilayah dan mempunyai Sarjana di dalam bidang Perumahan. Kini beliau bertugas sebagai Pegawai Projek Kanan Gender Responsive dan Participatory Budgeting, PWDC.