Berita

RM2.6 juta untuk pelajar Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 27 SEP: Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menitikberatkan pembangunan modal insan, malah sentiasa menghargai, memupuk dan menggunakan sepenuhnya potensi bakat belia negara, ke arah menjadikan Pulau Mutiara itu sebagai hab bakat di peringkat global.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata, ia adalah salah satu daripada tiga cabang bidang yang diberikan penekanan oleh kerajaan negeri, selain prinsip tatakelola kerajaan yang baik serta pembangunan infrastruktur dan perhubungan digital.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri telah mengambil inisiatif memperkasakan Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang dan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang dengan memperuntukkan sejumlah dana besar untuk kedua-dua program tersebut tahun ini.

“Sebanyak RM2.6 juta dikeluarkan kepada 404 pelajar Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang dan 1,166 pelajar Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang untuk tahun 2016,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang telah dinaikkan sebanyak dua kali sejak 2007 mengikut keperluan semasa pelajar. Pada 2008 pelajar tingkatan satu hingga tiga telah menerima RM480 berbanding RM240 pada tahun sebelumnya menerusi program tersebut.

Manakala pelajar tingkatan empat hingga lima menerima RM720 pada 2008 berbanding RM360 pada tahun sebelumnya. Pada tahun 2013 sehingga kini pemberian itu meningkat kepada RM600 bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga dan RM840 bagi tingkatan empat hingga lima.

Melalui Tabung Amanah Pinjaman Penuntut Negeri Pulau Pinang pula, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam atau swasta tempatan layak untuk memohon pinjaman daripada program itu.

Perincian maklumat berkenaan kadar pinjaman yang ditawarkan mengikut jenis pengajian boleh didapati melalui melalui laman sesawang www.penang.gov.my atau www.epp.penang.gov.my. – Roketkini.com