Berita

DAP ketengah isu pengangguran, krisis sosio-politik di persidangan Progressive Alliance

KUALA LUMPUR, 28 SEP: Pada 19 hingga 22 September lalu, DAP telah dijemput untuk turut serta dalam persidangan antarabangsa anjuran organisasi global, Progressive Alliance yang diadakan di Denpasar, Bali, Indonesia.

Persidangan tahun ini diadakan dengan tajuk ‘Living Together in a New World : Building Solidarity and Social Justice’ serta dihadiri oleh kira-kira 40 pertubuhan serantau dan global dari lebih 30 buah negara.

Delegasi DAP diwakili oleh pemimpin-pemimpin biro antarabangsa parti itu seperti Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Adun Senai, Wong Shu Qi, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Adun Pasir Pinji Howard Lee.

Selain itu, Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP, Syerleena Abdul Rashid dan Setiausaha Eksekutif Biro Antarabangsa DAP, Ana Gella Opong turut menjadi wakil dalam persidangan yang berlangsung selama dua hari berkenaan.persidangan progressive alliance

Acara tersebut dilihat dapat menjadi platform kepada masyarakat antarabangsa dalam mencari jawapan progresif kepada cabaran politik dunia, menguatkan organisasi parti serta meningkatkan rangkaian serantau dengan sesi bertukar maklumat dan pengalaman antara delegasi yang hadir.

Howard Lee yang juga merupakan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa diberi penghormatan untuk memberi ucapan berhubung cabaran dan realiti yang sedang dihadapi oleh anak muda seluruh dunia.

Dalam ucapannya, beliau menekankan masalah pengangguran yang semakin meningkat serta ketidaksejajaran kerjaya dengan kelayakan, dengan menjadikan Malaysia sebagai contoh utama.

“Di Malaysia, isu ini sudah menjadi terlaluhoward serius, sehinggakan ia sudah diterima sebagai satu norma masyarakat. Ketidaksejajaran antara kemahiran dan pekerjaan yang dicari serta diperolehi oleh anak muda, adalah amat membingungkan.

“Kami mempunyai ramai rakan yang bertungkus-lumus melangsaikan pinjaman pendidikan dengan menggunakan gaji yang sangat kecil daripada kerja yang jauh dari kelayakannya,” ujar beliau.

Menyentuh krisis sosio-politik yang melanda masyarakat antarabangsa dalam ucapannya, Liew Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menjelaskan dunia memerlukan paradigma baru berikutan era globalisasi yang menekankan sektor perdagangan dan kewangan semakin berakhir.

“Kegagalan melaksanakan perkara ini akan menyebabkan golongan populis sayap kanan lebih berkuasa, seperti yang ditunjukkan oleh Trump dan Duterte, tidak termasuk fenomena perpecahan sosial dan politik yang lain seperti Brexit,” katanya.

DAP merupakan tuan rumah kepada persidangan sama yang berlangsung di Pulau Pinang pada tahun lalu, manakala untuk tahun ini, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) menjadi tuan rumah. – Roketkini.com