Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 6

Sikap mengenang budi dan jasa orang sangat ditekankan dalam budaya masyarakat yang bertamadun. Dalam hal ini, sepuluh kural yang terkandung dalam Bab 11 teks Thirukkural amat sesuai dijadikan panduan dan rujukan.

Bayangkan diri kita sebagai seorang individu yang kedekut dan tidak suka membantu orang. Tiba-tiba, pada suatu hari, kita berada dalam kesusahan, dan ada orang tampil membantu kita.

Bayangkan juga bahawa selepas itu, kita cuba membalas bantuan itu. Menurut Thiruvalluvar menerusi Kural 101, kalaulah kita cuba membalas dengan memberikan “bumi dan langit” sekalipun, perbuatan kita tidak setimpal.

Maknanya, kita jangan hanya mahu memikirkan soal berbuat baik dan membalas budi selepas menerima bantuan orang. Sebaliknya, jadikan amalan membantu sebagai budaya hidup.

Bantuan yang dihulurkan pula tidak semestinya besar, atau melibatkan wang yang banyak. Dijelaskan dalam Kural 102 bahawa bantuan yang dihulurkan mungkin amat kecil tetapi memandangkan ia diberikan pada masa di mana ia amat diperlukan, maka nilainya amat tinggi – lebih besar daripada “bumi dan langit”.

Dalam soal menghulurkan bantuan, usah sesekali memikirkan saiz bantuan atau apakah faedah (pulangan) yang bakal diperoleh oleh si pemberi bantuan. Sebaliknya, lihatlah kepada nilai persahabatan dan persaudaraan yang dihulurkan bersama-sama bantuan itu.

Menurut Kural 103, apabila nilai persahabatan dan persaudaraan diberikan perhatian, maka secara automatik, nilai dan faedah daripada bantuan yang dihulurkan itu menjadi lebih luas daripada lautan.

Nilai dan saiz bantuan disentuh sekali lagi oleh Thiruvalluvar menerusi Kural 104. Katanya, saiz (fizikal) bantuan yang dihulurkan mungkin sebesar sebutir bijirin sahaja.

Akan tetapi, bagi individu yang menerima bantuan itu, nilainya mungkin amat besar dan tinggi. Atas sebab itulah juga konsep dharma dan aram dalam budaya India menekankan betapa nilai bantuan lebih utama berbanding saiz (fizikal) bantuan yang dihulurkan.

Apabila orang berbudi, tentulah kita mahu membalas budi mereka. Timbul persoalan tentang saiz atau nilai balasan yang sesuai.

Sekadar contoh mudah untuk membantu pemahaman, bayangkan bahawa seseorang memberikan kita suatu hadiah sempena musim perayaan. Katakanlah harga hadiah itu RM200.

Apabila kita membalas hadiah kepada orang berkenaan, apakah harga barangan itu perlu RM200 juga, atau perlu lebih mahal? Ini tentu sahaja suatu dilema yang sering dialami orang ramai.

Sekiranya Kural 105 dihayati, maka kita akan faham bahawa balasan yang diberikan tidak perlu berkait dengan nilai bantuan yang pernah diterima daripada seseorang.

Sebaliknya, bergantung kepada kemuliaan diri individu yang pernah menghulurkan bantuan. Misalnya, bayangkan seorang politikus memberikan bantuan barangan makanan menjelang pilihan raya.

Kita tidak semestinya membalas budi dengan mengambil kira nilai barangan makanan, lalu memberikannya undi dalam pilihan raya. Sebaliknya, kita membalas budi (pemberian bantuan barangan makanan) dengan mengambil kira darjat dan kemuliaan politikus itu di mata kita.

Dalam pantun tradisional Melayu ada disebut tentang “hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga” dan “hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”.

Nilai dan mesej yang hampir sama ditekankan dalam Thirukkural. Misalnya, dalam Kural 106, orang ramai diingatkan supaya tidak sesekali melupakan persaudaraan orang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadap kita.

Tidak setakat itu, kita jangan sesekali memutuskan persahabatan dengan mana-mana individu yang pernah menghulurkan bantuan semasa kita mengalami kesusahan.

Apabila kita membantu seseorang secara ikhlas, memanglah kita tidak mengharapkan sebarang balasan. Malah, kita tidak mengharapkan supaya orang itu mengenang bantuan itu pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, bagi orang yang pernah menerima bantuan (khususnya seperti dalam Kural 104), maka budi akan dikenang sepanjang hayat. Dalam Kural 107, dinyatakan bahawa budi baik akan dikenang selama tujuh kelahiran.

Hal ini kerana dalam budaya India, setiap atma (roh) dikatakan lahir sebanyak tujuh kali di muka Bumi sebelum kembali kepada Paramatma (Tuhan).

Makna yang jelas adalah bahawa kita tidak patut melupakan bantuan dan budi yang pernah dihulurkan orang. Perkara ini ditegaskan sekali lagi dalam Kural 108. Perbuatan tidak mengenang budi dianggap bertentangan dengan aram (kebenaran) dan dharmam (keadilan).

Selain itu, satu lagi aspek yang ditekankan dalam kural berkenaan adalah tentang pentingnya sebarang kesalahan dan kesilapan yang dilakukan seseorang dilupakan – dimaafkan – dengan segera. Maknanya, janganlah diungkitkan semula dari semasa ke semasa.

Memanglah mustahil untuk mengharapkan seseorang hanya melakukan kebaikan sepanjang hayat. Sebagai manusia biasa, pasti ada juga kesilapan, kesalahan dan keburukan yang pernah dilakukan.

Hakikat ini turut diingatkan oleh Thiruvalluvar menerusi Kural 109 dalam Thirukkural. Janganlah semata-mata kerana satu kesalahan yang dilakukan, maka segala kebaikan yang pernah dibuat orang itu dilupai.

Gambaran atau contoh yang diberikan adalah tentang seorang individu yang pernah membantu kita. Tiba-tiba, orang itu didapati terlibat dalam perbuatan jenayah, seperti pembunuhan.

Dalam situasi seperti itu, kita sebagai individu yang pernah menerima bantuan daripada orang berkenaan, mungkin akan mengetepikan jenayah yang dilakukan; sebaliknya memilih untuk mengenang bantuan yang pernah dihulurkan kepada kita.

Sekiranya difikirkan, mungkin ramai politikus bergantung kepada kandungan kural ini untuk menjamin sokongan berterusan daripada orang ramai, walaupun jika mereka melakukan sebarang jenayah.

Saya teringat akan kontroversi yang berlaku pada tahun 2012 berkaitan lagu “Janji Ditepati”. Lagu tema Hari Kebangsaan itu memuatkan lirik “janji sudah ditepati, kini masa balas budi”.

Ini membawa kepada Kural 110 iaitu kural terakhir dalam Bab 11. Dinyatakan bahawa memang ada cara untuk menebus sebarang kesalahan dan dosa yang dilakukan.

Akan tetapi, sekiranya kita melupakan budi orang yang pernah membantu kita, maka kita dianggap melakukan dosa yang tidak akan terampun. Kural ini wajar juga dikenang oleh politikus yang terhutang budi kepada pengundi.

* Uthaya Sankar SB sedang dalam proses menerbitkan kumpulan esei budaya kaum India berjudul Mandala Bicara.