Berita

Persempadanan semula langgar hak asasi, Suhakam setuju sidang meja bulat dengan SPR

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Pakatan Harapan hari ini memohon agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan kajian impak hak asasi manusia ke atas cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Hatta Ramli hadir di ibu pejabat Suhakam pagi tadi bagi menyerahkan memorandum berhubung perkara itu.

Cadangan SPR berkenaan, kata mereka didapati bertentangan dengan pelbagai undang-undang melibatkan hak pengundi, termasuk prinsip kesaksamaan seperti yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Charles ketika dihubungi Roketkini turut menjelaskan bahawa cadangan SPR itu melanggar Perkara 2(C) dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa bilangan pemilih di setiap kawasan pilihan raya haruslah hampir sekata.

“Dalam cadangan SPR itu, Klang mempunyai 141,275 pengundi manakala kawasan-kawasan seperti Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang mempunyai pengundi lebih sedikit daripada 45,000 orang.

“Ini menyebabkan nilai undi di kawasan-kawasan tersebut adalah tiga kali ganda berbanding kawasan Klang,” jelasnya.

Selain Klang, enam lagi kawasan Parlimen dengan bilangan pengundi melebihi 120,000 orang adalah Gombak (124,983), Bangi (146,168), Subang (128,330), Petaling Jaya (129,363), Damansara (150,439) dan Kota Raja (121,126).

Charles menambah, perbezaan ketara bilangan pengundi itu turut bercanggah dengan prinsip ‘satu orang, satu undi’ yang dinyatakan dalam Perkara 25 Konvensyen Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Sivil dan Politik.

“Inilah sebab mengapa kami minta pihak Suhakam agar menetapkan garis panduan untuk SPR tentang cara-cara membuat persempadanan semula agar ia tidak melanggar hak asasi manusia,” katanya.

Menurut beliau, Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail telah bersetuju untuk mengadakan satu perbincangan meja bulat antara SPR dengan pihak berkepentingan yang lain seperti parti-parti politik dan badan pendesak pilihan raya adil, Bersih 2.0.

“Beliau bersetuju untuk menganjurkan perbincangan itu secepat mungkin kerana tarikh terakhir bagi membantah cadangan persempadanan semula adalah pada 14hb Oktober ini,” katanya.

Charles menjelaskan, beliau turut meminta agar SPR dapat menyediakan borang pendaftaran pengundi baru yang mencukupi selepas ini dan tidak lagi mencipta pelbagai alasan yang tidak masuk akal.

“Jangan buat alasan kononnya borang telah habis atau tiada orang yang bekerja di pejabat seperti sebelum ini,” tegasnya.

Cadangan persempadanan semula oleh SPR itu telah dikritik sejak ia diumumkan dengan pembangkang mendakwa ia memberi kelebihan besar kepada BN dalam pilihan raya akan datang. – Roketkini.com