Berita

Nasrudin Tantawi ingkar perintah mahkamah, Guan Eng arah peguam bertindak

GEORGE TOWN, 11 OKT: Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi masih belum membayar kos kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seperti yang diperintahkan mahkamah ekoran kenyataan fitnah yang dibuatnya dua tahun lalu.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP telah mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap Ahli Parlimen Temerloh itu.

Pegawai khas undang-undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib dalam satu kenyataan hari ini berkata, kegagalan atau keengganan Nasrudin sebagai defenden untuk membuat bayaran kos berkenaan merupakan suatu keingkaran dan penghinaan terhadap perintah mahkamah.

“Perintah tersebut dengan jelas mengarahkan Defendan membayar RM10,000 sebagai kos kepada YAB KM, namun sekurang-kurangnya 3 minggu telah berlalu tanpa apa-apa bayaran daripada pihak Defendan.

“Ini ialah arahan daripada Mahkamah yang Mulia untuk Defendan membuat bayaran tersebut serta membuktikan bahawa memang Defendan menzahirkan perasaan kesal beliau atas tuduhan yang tidak berasas ke atas YAB KM dan menarik balik artikelnya,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang merekodkan kenyataan kesal Nasrudin yang menarik balik kenyataan fitnahnya pada 6 Ogos 2014 di laman sosial Facebook miliknya apabila mengaku ia tidak mempunyai sebarang asas.

Defenden dan Guan Eng selaku plantif bersetuju untuk menyelesaikan saman fitnah itu di luar mahkamah dengan terma-terma yang antara lain menuntut pihak defenden membayar kos sebanyak RM10,000.

Nasrudin disaman ekoran menfitnah Guan Eng kononnya telah menganugerahkan projek pembinaan terowong dasar laut bernilai RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd secara rundingan terus, meskipun pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan beliau menentang keras amalan seumpama itu. – Roketkini.com