Rencana

Pertembungan Syiah dan Ahlus-Sunnah: Contohi pendekatan Mufti Pulau Pinang

Bulan lepas muncul satu suara yang sangat progresif dan menenangkan daripada seorang agamawan yang bergelar mufti, Sahibus Samahah Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Mufti bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Beliau menyebut Syiah adalah sebahagian daripada Islam dan menolak pendapat mengkafirkan yakni mengeluarkan aliran fahaman Syiah daripada payung besar Islam. Sekaligus ijtihad beliau berbeza dengan majoriti pendapat majoriti ulama’ ahlus-sunnah tanah air.

Nasihat beliau: “Matlamat ini hanya boleh direalisasikan menerusi perpaduan dan saling bantu membantu antara pelbagai aliran dan mazhab Islam di samping mengetepikan perbezaan yang wujud di antara mereka. Tak guna diungkit peristiwa masa silam yang sudah menjadi sejarah. Kita mesti menghadapi bersama cabaran masa kini dan merancang masa hadapan yang lebih baik untuk anak cucu kita”.

Beliau menyokong hujahnya dengan memetik sebuah Hadis Sahih al-Bukhari: “Rasulullah bersabda: Barangsiapa solat seperti kita, menghadap kiblat seperti kita, dan memakan haiwan sembelihan seperti kita, maka dialah orang Muslim yang berada di bawah perlindungan Allah dan Rasul-Nya”.

Aliran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar selepas Sunni (label lain kepada: Ahlus Sunnah Wal Jamaah/ASWJ) dengan pengikutnya tertumpu di Iran, Iraq, Bahrain, beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk lain. Di Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 menyatakan Syiah secara umum sebagai ajaran “sesat” dan tidak boleh diamalkan. Ia sekaligus memansuhkan Fatwa 1984 sebelumnya yang menyatakan Mazhab Syiah daripada golongan Al-Zaidiyah dan Jaafariah diterima untuk diamalkan di Malaysia.

Kita tidak mahu ‘import’ budaya perbezaan mazhab yang kronik dari luar ke dalam negara majmuk seperti Malaysia ini. Sebagai contoh, persengketaan tiada penghujung saling menyesat dan mengkafirkan antara ulama kerajaan Sunni Arab Saudi dan ulama kerajaan Syiah Iran sehingga meleret kepada isu seperti kemasukan jemaah haji ke Mekah baru-baru ini.

Tidak sedikit kes ulama mazhab minoriti didiskriminasi termasuk ditangkap serta dibunuh di kedua-dua negara teokrasi tersebut atas pelbagai alasan tidak munasabah. Tindakan kerajaan berkelahi ini harus dijadikan sempadan. Ia juga  bukan hujah mewakili ajaran mazhab yang mereka anuti.

Analogi mudah seperti tindakan Yahudi Zionis Israel tidak mewakili amalan bangsa dan penganut Yahudi di serantau dunia. Sama jualah tindakan militan ekstrem Da’esh, Al-Qaeda, Taliban, Boko Haram, Abu Sayyaf, FPI, FJI tidak mewakili Muslim lain yang membantahnya. Bezakan antara ajaran aliran dan penganut aliran.

Dengan tidak menolak beberapa faktor luaran, manhaj atau metodologi interaksi antara fahaman teologi berbeza sebagai penyumbang besar kepada kekeruhan hubungan kedua-dua mazhab terbesar Muslim ini, inilah pokok pangkal besar perbalahan rantau ini dan pergolakan peringkat antarabangsa.

Takfiri (mengkafirkan umat Islam yang berbeza pandangan) adalah senjata makan diri yang terbukti memecahbelahkan perpaduan. Dalam sejarah umat Islam, ada puak bernama Khawarij yang suka mengkafirkan kelompok yang berkhilaf dengan tafsiran Islam mereka. Bagi mereka, berbeza dikira berdosa maka terkeluar Islam (kafir) seterusnya dikira musuh Allah, akhirnya diisytihar perang dan darahnya halal.

Maka ramailah terbunuh dek fatwa ekstrem sedemikian. Nabi saw dalam Hadis memberi amaran: “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”

Budaya saling menyesat dan mengkafirkan di Malaysia bukan baru. Ia terjadi bukan sahaja antara Mazhab Syiah-Sunni, ia berlaku juga antara aliran Asyairah-Salafiyyah dalam Mazhab Sunni, sehinggalah kepada perbezaan dogma parti-parti politik. Kes seperti solat dua imam, tak makan sembelihan saudara, serbuan dan tangkapan di markaz serta pengharaman bahan ajaran penganut berbeza ada dalam masyarakat kita.

Sektarianisme ini buruk tapi syukur tak separah di Timur Tengah. Amalan sia-sia ini telah membantutkan sebuah ketamadunan masyarakat madani dalam teknologi, politik, ekonomi, falsafah, sains dan sebagainya.

Kita boleh ambil manfaat daripada pandangan Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam, USIM, Prof Madya Dr Kamaluddin Nurdin bahawa kita mesti bergerak terus ke depan dan melupakan kekhilafan antara Syiah dan Sunni ini. Tidak dipertikaikan oleh semua bahawa perbezaan Sunni-Syiah ini adalah pada perkara fundamental teologi masing-masing dalam penerimaan sumber dan kaedah memahami wahyu. Cuma, tinggal lagi sama-sama mestilah bertoleransi, saling menghormati dan sekurang-kurangnya menerima kaedah ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ sebagai formula perpaduan fasa baru.

Bagi beliau, pertempuran sesama Islam seperti yang berlaku di sesetengah negara tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada kedua-dua pihak. Ia perlu dihentikan.

Sejarah hitam dalam sirah seperti perang Jamal, Siffin dan Karbala tidak harus berulang lagi di zaman ini. Perbincangan hubungan Sunni dan Syiah yang menjurus bersifat negatif sudah luput ditelan zaman. Pendekatan toleransi perlu dibangunkan. Sejarah Islam baru yang penuh kedamaian dan ketenteraman seiring dengan kemajuan teknologi dan sains harus dibina kembali.

Mungkin ada yang terus berhujah: “Sebahagian ulama Arab telah buat usaha ‘taqrib’ (mendekatkan) Sunni-Syiah tapi belum berjaya, ini sia-sia!”. Aku tanyakan kembali: Kenapa perlu bertaqlid kepada ijtihad mereka dan kenapa berputus asa demi perpaduan di tempat kita?

Ijtihad seperti dilakukan Mufti Penang mesti disokong, dipuji dan disebarkan. Yang lebih faham konteks senario adalah ulama tempatan dan bukan ulama luar. Bagi aku, ia adalah sebuah naratif balas yang efektif kepada naratif kelompok melampau, taksub, fanatik dan jumud penganut aliran mazhab tertentu. Tiba masanya wacana dinilai kembali dan diberi nafas baru.

Sejarah perbalahan ini sewajarnya dilipat bukan diriwayat. Masing-masing mengakui ada salah dan silap. Maka sama-sama menerimanya dengan hati terbuka, minda tenang dan hati ikhlas demi maksud kesatuan yang lebih besar.

Riwayat Mutawatir daripada Al-Quran ini mengatasi hujah kebencian atas nama agama yang tersebar. Allah berfirman:

“Marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu” (Ali Imran: 64)

“Jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang (berkelahi), maka damaikanlah di antara keduanya” (Al-Hujurat: 9)

“Bertolonganlah membuat kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan permusuhan” (Al-Maidah: 2)

Dalam konteks hubungan kehidupan Sunni-Syiah di Malaysia, aku menyeru kepada sahabatku tak kira Sunni mahupun Syiah, sama-sama kita mempertingkatkan dialog dengan sihat dengan apa jua medium. Ambil manfaat daripada kelompok manapun dengan neraca wasatiyyah, muktadil dan insaf.

Kebenaran tidak terkumpul pada aliran atau mazhab kita sahaja. – Roketkini.com

*Ahmad Salami adalah pelajar jurusan Fiqh & Usul Fiqh di UIAM dan alumni Sekolah Demokrasi