KUALA LUMPUR, 21 OKT: Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk tidak membenarkan perbahasan mengenai tuntutan saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1MDB perlu dinilai semula kerana ia melibatkan dana awam dan hak rakyat.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata dakwaan DOJ tersebut adalah amat serius serta wajar dibahaskan oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen bagi mendapatkan jawapan tentang skandal syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
Ia berikutan 1MDB semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa sejak kebelakangan ini, termasuk siasatan oleh pihak berkuasa Switzerland dan Singapura selain Amerika Syarikat.
“Perdana Menteri harus menggunakan peluang ini untuk mendapatkan jawapan terperinci mengenai 1MDB dan tuntutan saman DOJ tersebut.
“Dengan seluruh jentera kerajaan ada bersamanya, di mana lagi tempat yang lebih sesuai untuk Perdana Menteri dengan penuh bersedia menjelaskan isu ini kepada rakyat berbanding di Parlimen?” katanya kepada Roketkini.
Sehubungan itu, Gobind yang juga Ketua Biro Undang-undang DAP meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyokong usul yang dibawanya semalam bagi menilai kembali keputusan Speaker melarang sebarang perbahasan berhubung dakwaan DOJ berkenaan.
“Jika Perdana Menteri hanya berdiam diri berkenaan isu tersebut, ia akan hanya menjejaskan reputasinya di peringkat tempatan dan juga antarabangsa,” ujarnya.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Isnin lalu memutuskan wakil rakyat dilarang membahaskan tuntutan saman DOJ itu kerana ia kononnya sub judis, sambil menyatakan ia tertakluk di bawah bidang kuasanya.
Bagaimanapun, Gobind menjelaskan, Peraturan Tetap 34 membolehkan mana-mana ahli parlimen membawa usul agar dewan menilai kembali keputusan yang telah dibuat oleh Speaker.
“Bagi saya, keputusan Speaker itu adalah salah kerana tuntutan saman DOJ itu dibawa di luar negara, jadi tidak timbul soal sub judis.”
Menurutnya, perbahasan tentang tuntutan saman DOJ di Dewan sangat menguntungkan rakyat kerana semua persoalan yang pernah diutarakan selama ini akan terjawab.
Saman sivil yang difailkan DOJ Julai lalu mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14.78 bilion) daripada dana awam 1MDB diseleweng, selain memohon untuk menyita sebarang aset yang dibeli menggunakan wang curi tersebut. – Roketkini.com