Berita

Barang keperluan mahal, kerajaan dicadang dirikan kedai harga patut di pedalaman Gua Musang

GUA MUSANG, 25 OKT: Kerajaan dicadang supaya mewujudkan kedai harga patut di kawasan pedalaman di sini memandangkan harga bagi kebanyakan barangan runcit dan keperluan harian mahal 20 hingga 30 peratus dari harga sepatutnya.

Perkara ini berlaku kerana kedudukan kawasan itu yang terletak jauh daripada pusat bandar Gua Musang dan bertambah buruk setiap kali selepas hujan.

Menurut Ketua Pembangkang DUN Pahang Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji, berdasarkan tinjauannya di kedai-kedai sekitar Kampung Kuala Betis, harga barangan yang dijual mahal diantara 20 hingga 30 peratus.

tengku-zulpuri2

Menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk.

“Dari tinjauan kami, barang-barangan makanan yang dijual sekitar kedai-kedai Kuala Betis berhampiran jalan masuk ke Pos Tohoi dan perkampungan Orang Asli di sini agak mahal diantara 20 hingga 30 peratus daripada harga biasa.

“Sekurang kurangnya mesti ada kedai harga patut yang perlu diwujudkan oleh kerajaan di bagi memudahkan penduduk di sekitar ini membeli barang keperluan harian mereka,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Beliau berkata demikian selepas menerima jemputan turut serta dalam konvoi ziarah Orang Asli anjuran Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA) dan Persatuan Orang Asli Semelai Pahang ke Pos Tohoi, Blockade Simpang Petei (Pos Simpor), Pos Bering yang terjejas akibat pembalakan.

Program ziarah melibatkan 14 kenderaan pacuan empat roda itu disertai 50 orang peserta bagi meninjau situasi terkini perkampungan Orang Asli Temiar di sana berikutan isu pemusnahan hutan akibat pembalakan selain pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Tiang ada elektrik tiada

Adun Mentakab itu menjelaskan, selain harga barangan makanan yang membebankan, penduduk Orang Asli di sini juga masih kekurangan kemudahan asas dan infrastruktur.

whatsapp-image-2016-10-24-at-12-46-21-pm

Tengku Zulpuri ketika di hadangan Pejabat Perhutanan Kelantan.

“Tiang elektrik dan kabelnya ada di Kampung Simpor tapi masih belum ada bekalan elektrik lagi. Menurut penduduk, tiang-tiang dan kabel ini telah di pasang lebih daripada tiga tahun lalu tapi belum berfungsi, mungkin tunggu janji Pilihanraya Umum ke-14,” ujar beliau.

Selain itu rombongan juga sempat menziarahi Pos Bering yang menempatkan 17 buah rumah.

“Kampung Bering tiada kemudahan asas. Di sini ada sistem elektrik solar tetapi kebanyakan baterinya telah rosak,” jelas Tengku Zul.

Beliau mendedahkan, banyak pokok-pokok balak di sekitar kampung Orang Asli yang dilawati telah ditebang dan mengganggu ekosistem serta habitat alam semulajadi.

“Penduduk kampung bergantung kepada air sungai. Tetapi keadaan sungai akan keruh setiap selepas hujan kesan daripada pembalakan cuci mangkuk yang berleluasa di kawasan itu.

“Pembalakan dan pencemaran yang berlaku saat ini menyukarkan mereka untuk mencari rezeki yang mana hutan adalah punca sumber ekonomi mereka untuk terus hidup,” ujarnya. – Roketkini.com