Berita

Insiden Hospital Sultanah Aminah: Syarikat perkhidmatan sokongan diminta dedah rekod

JOHOR BAHRU, 27 OKT: Syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital, Medivest Sdn Bhd digesa mendedahkan rekod penyelenggaraan dan penilaian risiko ke atas Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini berikutan dua kebakaran yang berlaku dalam tempoh hanya 48 jam.

“Atas dasar ketelusan, Medivest perlu mendedahkan kepada umum rekod penyelenggaraan dan penilaian risiko HSA.

“Siasatan juga haruslah cepat dan telus. Laporan perlu didedahkan secara terbuka, dan tindakan pemulihan juga perlu diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang,” kata Adun Senai, Wong Shu Qi dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam menyatakan bahawa kerja-kerja penyelenggaraan hospital itu telah diserahkan kepada syarikat swasta Medivest Sdn Bhd.

Syarikat sokongan perubatan itu telah diberi konsesi perkhidmatan di semua hospital di Johor sejak tahun 1996, malah telah menerima satu lagi pembaharuan konsesi untuk tempoh 10 tahun pada tahun lalu.

Shu Qi yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor berkata selain Medivest, kerajaan Persekutuan juga perlu mendedahkan kepada umum semua kontrak antara Kementerian Kesihatan dengan syarikat-syarikat konsesi swasta berhubung perkhidmatan sokongan hospital.

“Walaupun siasatan ke atas bencana kebakaran itu sedang dijalankan, ia merupakan masa yang tepat untuk kerajaan melaksanakan langkah berkenaan.

“Dalam Belanjawan 2017, kerajaan memperuntukkan lebih RM2 bilion untuk perkhidmatan sokongan seperti itu,” jelasnya.

Menurutnya, gesaan terbabit bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi untuk memastikan tragedi malang itu tidak akan berulang lagi, terutama di hospital yang dipenuhi rakyat kurang berkemampuan.

“Di saat kita meratapi kejadian yang tragis ini, kita juga mahukan jawapan dan penjelasan.

“Pesakit, ahli keluarga dan kakitangan perubatan berhak mendapat persekitaran yang selamat untuk menerima rawatan, menjaga orang tersayang dan melaksanakan tugas-tugas mereka dengan profesional,” tegasnya. – Roketkini.com