Berita

DAP tempelak Pandikar ‘cakap-cakap tak serupa bikin’ konon mahu contohi Parlimen UK

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Adakah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bersedia memberi laluan kepada anggota Parlimen yang dipilih oleh rakyat untuk mengambil alih jawatannya selaras dengan amalan demokrasi di negara lain?

Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, negara lain yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti di United Kingdom (UK), Australia, Kanada dan New Zealand melantik speaker dari kalangan anggota Parlimen.

Katanya, amalan yang sama pernah dilaksanakan di Malaysia, namun pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1964 telah membenarkan individu bukan anggota Parlimen dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Persoalan itu dibangkitkan Lip Eng dalam satu kenyataannya hari ini selepas melihat kesungguhan Pandikar yang kononnya ingin mencontohi amalan Parlimen di negara-negara berkenaan.

Pandikar dalam satu sidang media di Parlimen pada Khamis lepas mendakwa kononnya tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen di UK terdapat anggota Parlimen mereka yang bertindak meninggalkan dewan ketika pembentangan belanjawan sedang berlangsung.

Beliau memetik perkara itu dengan merujuk tindakan protes sebahagian besar pemimpin pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat di tengah-tengah pembentangan Belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober lepas.

“Namun dengan carian mudah di Google, tanpa memerlukan pasukan penyelidik dan setiausaha seperti yang dimiliki Pandikar, kita boleh temui bahawa perkara itu berlaku (dalam Parlimen UK) pada pembentangan belanjawan kedua pentadbiran Margaret Thatcher dalam tahun 1981.

“Pada waktu itu ramai anggota Parlimen daripada parti konservatifnya sendiri meninggalkan sidang ketika Chancellor of the Exchequer (Menteri Kewangan) Geoffrey Howe membentangkan belanjawan,” jelas Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Malah, menurut Lip Eng, jika Speaker benar-benar mahu mencontohi amalan Parlimen di negara berkenaan, beliau seharusnya meminta Najib agar membenarkan anggota Parlimen pembangkang dilantik mengetuai agensi tertentu kerajaan seperti yang diamalkan negara luar.

“Sebagai Speaker yang nampaknya mahu mencontohi amalan terbaik Parlimen UK, adakah Pandikar akan meminta tuan politiknya, Najib Razak, untuk membenarkan anggota Parlimen pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)?

“Kerana ia juga merupakan amalan House of Commons UK dan juga hampir semua negara demokratik. Atau adakah Pandikar hanya akan terus menjadi Speaker lantikan Barisan Nasional(BN) yang ‘cakap tak serupa bikin’ dan hanya mampu sembang kencang, tapi habuk pun tak ada?” soalnya. – Roketkini.com