Berita

DAP Pahang gesa kerajaan ambil langkah holistik tangani krisis air

MENTAKAB, 3 NOV: Kerajaan negeri Pahang diminta menangani krisis air yang melanda negeri itu sejak enam bulan lalu secara menyeluruh.

Ia termasuk dengan menjalankan tender terbuka, pemantauan secara berkesan, penguatkuasaan undang-undang dan penyelarasan bidang kuasa agensi-agensi terbabit.

Cadangan ini dibuat Ketua Pembangkang DUN Pahang Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji selepas menghadiri bengkel Kelestarian Sumber Air Pahang anjuran kerajaan negeri baru-baru ini bagi mendapatkan maklumbalas terhadap krisis air yang melanda melibatkan beberapa agensi kerajaan, NGO, pihak swasta, parti-parti politik dan orang ramai.

“Bengkel sebegini sepatutnya diadakan lapan tahun lalu. Walaupun penganjuran ini positif, namun pencemaran dan pemusnahan sumber dan alam sekitar sudah banyak berlaku,” katanya.

ADUN Mentakab itu berkata walaupun undang-undang sedia ada mampu untuk  melindungi sumber air dan alam sekitar, tanpa penguatkuasaan tegas, masalah kekurangan air dan pencemaran akan terus berlaku.

“Walaupun undang-undang ada, selagi ada ruang ketirisan dan salah guna kuasa akan terus berlaku. Maka ianya seperti mencurah air ke daun keladi dan kosmetik semata-mata untuk menampakan kerajaan kononnya telus dan buat kerja,” kritik beliau.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi penekanan dalam amalan pemberian tender melibatkan kerja penyelenggaraan, sambungan paip atau sebarang usaha pemulihan bekalan air negeri itu.

“Kerajaan Pahang perlu mengamalkan sistem tender terbuka tanpa rasuah di samping cadangan supaya SPRM diletakkan di bawah kawalan Parlimen untuk mengelakkan sebarang tekanan politik,” kata beliau.

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu menyelesaikan sebarang isu pertindihan kuasa dalam agensi-agensinya untuk memastikan sebarang usaha memulihkan sumber semulajadi di Pahang berjalan lancar dan mudah.

“Contohnya dalam hal alam sekitar, bila berlaku perlombongan haram  seperti emas atau bauksit dalam hutan, mungkin pejabat perhutanan kata ianya bukan tanggungjawab jabatan itu kerana mereka hanya jaga balak. Jadi, biasanya akan berlaku tuding-menuding.

“Kerajaan negeri Pahang mestilah mempunyai penyelarasan dan kerjasama antara jabatan. Sebarang akta atau undang-undang yang tidak lagi realistik perlulah diperbaharui,” jelasnya lagi. – Roketkini