Berita

Tuduhan Penang Institute didanai George Soros tidak berasas dan berniat jahat

GEORGE TOWN, 4 NOV: Penang Institute (PI) hari ini menafikan dakwaan bahawa ia menerima bantuan kewangan daripada pertubuhan Open Society Foundation (OSF) yang dikaitkan dengan hartawan Amerika Syarikat, George Soros.

Menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas dan berniat jahat, Pengarah Eksekutif PI, Zairil Khir Johari berkata, beliau memandang serius perkara itu dan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan sekiranya perlu.

“Dakwaan itu berpunca dari ‘kebocoran dokumen’ seperti didedahkan dalam laman web, DC Leaks. Menurut dokumen itu, PI telah disenaraikan sebagai penerima geran pengajian bagi fellowship siswazah di Central European University’s School for Public Policy di Hungary.

“Kami ingin menyatakan secara mutlak bahawa PI tidak menerima atau menggunakan apa jua dana daripada Open Society Foundation.

“Tidak ada seorang pun daripada kakitangan kami telah menerima fellowship Central European University seperti yang didakwa oleh dokumen itu. Dalam erti kata lain, PI tidak mempunyai apa-apa hubungan pun dengan pertubuhan-pertubuhan itu,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, PI sebagai badan pemikir dasar awam kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan menerima bantuan kewangan daripada sumber asing tanpa sebarang kelulusan daripada kerajaan negeri.

Institut itu adalah salah satu daripada beberapa organisasi yang didakwa kononnya menerima dana secara langsung atau tidak langsung daripada OSF.

Zairil yang juga meruapakan Penolong Setiausaha Publisiti DAP turut mempersoalkan motif di sebalik tuduhan-tuduhan yang dilihat menyasarkan organisasi serta badan yang diketahui bebas dan kritikal terhadap regim pemerintah.

“Oleh itu, kami mengutuk sekeras-kerasnya kempen berniat jahat untuk memburuk-burukkan badan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana institusi hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan,” katanya. – Roketkini.com