Berita

Zairil jawab Khaled Nordin, kakitangan awam ada hak sokong mana-mana parti politik

GEORGE TOWN, 14 NOV: Menjadi hak peribadi setiap pegawai awam di negara ini untuk memilih dan menyokong mana-mana parti politik tanpa sebarang sekatan oleh pihak kerajaan yang memerintah, ujar Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera itu, dalam urusan dan pelaksanaan kerja serta tanggungjawab seharian, setiap kakitangan awam tidak wajar mengambil sikap partisan dengan membelakangi amanah dan arahan yang telah diberikan.

“Maksudnya mereka mestilah bersikap berkecuali dari segi politik dan hanya melaksanakan tugas dan amanah seperti dalam ikrar dan arahan am. Tapi dari segi peribadi, sudah tentu mereka bebas menyokong mana-mana parti,” katanya kepada Roketkini.                        

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Jumaat lepas yang menegaskan bahawa setiap kakitangan awam perlu menyokong kerajaan yang memerintah.

“Saya percaya amalan dan pendirian yang terpakai di mana-mana ialah kakitangan pentadbir perlu menyokong kerajaan yang memerintah, itu sahaja. Noktah!,” ujar Khaled seperti dipetik agensi berita, Bernama.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata demikian sebagai mengulas isu sama ada terdapat ataupun tidak kakitangan kerajaan negeri yang ditadbirnya terlibat dengan parti-parti politik baru – yang dipercayai merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kemunculan parti baru yang diasaskan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat sebagai saingan hebat buat UMNO di Johor.

Malah, Muhyiddin yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Johor dilihat oleh ramai pemerhati sebagai mempunyai pengaruh yang kuat, sekaligus mampu untuk menarik sokongan ahli akar umbi UMNO di negeri itu untuk menyertai PPBM. – Roketkini.com