Berita

Serbuan pejabat BERSIH: Telefon dirampas, peguam disuruh keluar

PETALING JAYA, 18 NOV: Polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertindak menyerbu pejabat badan pendesak pilihanraya bersih dan adil, BERSIH 2.0 di sini petang tadi.

Dalam satu posting Facebooknya, BERSIH 2.0 mendakwa polis dan SSM mengugut mahu merampas semua barang dan dokumen, selain pihaknya dinafikan hak untuk berjumpa dengan mana-mana peguam.

Ahli gabungan peguam Lawyers For Liberty, Melissa Sasidaran dalam laman twitternya pula menyatakan beliau dan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang juga seorang peguam diminta keluar dari pejabat BERSIH 2.0 oleh polis.

Menurutnya, peguam dan pekerja BERSIH 2.0 tidak dibenarkan menggunakan telefon untuk berhubung dengan sesiapa.

“Telefon bimbit pekerja dikumpul dan diletakkan berasingan oleh polis untuk mengelakkan rakaman dan menghubungi sesiapa. Satu salahguna kuasa yang jelas (@bersih2 staff had phones collected and kept aside by police to prevent any recording and contact. Clear abuse of power).”

Dalam pada itu, organisasi Amnesty International Malaysia dalam posting twitter mengutuk keras tindakan polis menghalang pekerja BERSIH 2.0 bertemu peguam dengan mendakwa ia sebagai menafikan hak asasi mereka.

“Peguam mesti dibenarkan berhubung dengan klien (Lawyers must be allowed access to clients).”

Pengerusi Maria Chin Abdullah dan Pengurus Sekretariat BERSIH 2.0, Mandeep Singh kini dilaporkan sedang dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Polis turut merampas komputer riba dan penyata akaun organisasi berkenaan. – Roketkini.com