Berita

“Ini tunjuk perasaan halal dan penting” Tun Dr Mahathir gesa Najib berundur

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan BERSIH 5 semalam memberi mesej jelas kepada rakyat Malaysia bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus berundur.

Di saksikan puluhan ribu peserta, Dr Mahathir mengucapkan tahniah kepada rakyat yang berani hadir ke perhimpunan aman itu.

“Saya bangga tuan-tuan puan-puan tak sedikit pun takut. Berani kerana benar. Takut kerana salah.

whatsapp-image-2016-11-19-at-7-20-44-pm

“Saya syukur balik awal (dari lawatan ke Sudan) sempat ambil bahagian dalam BERSIH. Ini adalah tunjuk perasaan yang halal dan penting,” katanya.

Dr Mahathir menyelar Najib di atas salah guna kuasa polis yang bercanggah dengan undang-undang berikutan penangkapan pemimpin-pemimpin utama BERSIH dan pembangkang.

“Najib tidak layak jadi Perdana Menteri. Kita sedih dia salah guna kuasa ke atas polis untuk buat perkara yang bercanggah dengan undang-undang.

“Kita jangan takut. Biar dia datang tangkap kita semua. Kita akan berdiri bersama! Kita pertahan pemimpin kita termasuk Maria Chin.

“Yang penting kita bersatu tak kira kaum. Dalam keadaan aman,” kata beliau.

Menurut beliau, Najib tidak layak memimpin Malaysia akibat isu penyelewengan melibatkan 1MDB yang menyebabkan imej Malaysia tercalar dengan gelaran ‘negara kleptokrasi’.

whatsapp-image-2016-11-19-at-6-08-33-pm“Negara kita sekarang ditadbir penyangak dan pencuri. Dunia mengenal Malaysia sebagai negara kleptokrasi. Sebuah negara dipimpin penyangak dan penyamun.

“Walaupun umur saya dah tinggi sikit. Tapi saya bersama dengan rakyat mahu Najib undur,” tegasnya disambut tepukan dan sorakan gemuruh peserta.

Beliau menyeru rakyat supaya meneruskan perjuangan menuntuk sebuah kerajaan adil dan demokratik berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Teruskan perjuangan ini kerana ini perjuangan mulia bukan seperti perjuangan Datuk Seri Najib yang kleptokrasi,” kata Dr Mahathir.

Justeru, untuk melakukan perubahan pentadbiran kerajaan, rakyat perlulah bijak memilih parti yang benar-benar serius dan peduli kepada perjuangan rakyat terbanyak.

“Sertai pembangkang PPBM, PKR, Amanah dan DAP yang serius jatuhkan BN dalam pilihanraya,” kata beliau.

Perhimpunan Bersih 5 semalam berjalan lancar walaupun wujud beberapa sekatan polis bagi mengelak pertembungan dengan gerombolan Baju Merah. -Roketkini.com