Berita

Cakap tak serupa bikin? Khairy digesa desak polis bebaskan Maria

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dicabar supaya mendesak polis agar membebaskan Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah daripada disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Cabaran itu dibuat Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam kenyataannya hari ini berikutan hujah Khairy di Parlimen sebelum ini yang menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH tidak ‘memudaratkan demokrasi berparlimen’ ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) itu.

“Penangkapan Maria Chin Abdullah mengikut SOSMA tiga hari lepas telah mengesahkan kebimbangan yang pernah disuarakan anggota Parlimen pembangkang apabila RUU berkenaan diluluskan empat tahun lepas.

“Meskipun hanya menganjurkan perhimpunan aman untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil bagi memastikan kerajaan bersih, polis tetap menjalankan siasatan terhadap beliau kerana kononnya mengadakan ‘aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen’,” ujar Tony.

Pihak pembangkang, ketika membahaskan RUU itu mendakwa klausa ‘aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen’ dalam akta tersebut memberikan tafsiran yang luas dan terbuka, justeru terdedah kepada penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mempersoalkan sama ada Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau akan melakukan “tindakan terpuji” dan mendesak supaya Maria Chin dibebaskan dengan segera ekoran tangkapan salah mengikut akta tersebut.

“Atau adakah beliau (Khairy) akan terus menutup mulut dan berpura-pura bahawa beliau tidak pernah berkata di Parlimen bahawa RUU SOSMA tidak akan digunakan untuk mengekang perhimpunan aman atau BERSIH?” Soalnya.

Maria ditahan pada lewat petang Jumaat, menjelang perhimpunan aman BERSIH 5, dan kemudiannya didakwa mengikut SOSMA, dengan polis menyiasat beliau berikutan kononnya menganjurkan ‘aktiviti menggugat demokrasi berparlimen’. – Roketkini.com