Berita

Tuntut pembebasan Maria Chin, kumpulan wanita berarak ke Parlimen

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Kira-kira seribu berarak ke Parlimen bagi menuntut pembebasan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah tanpa syarat dengan segera.

Kumpulan  ‘Wanita Bergerak untuk Maria’ itu berhimpun di Padang Merbok sekitar jam 10 pagi sebelum menuju ke Parlimen bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri untuk membantah penahanan Maria di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Beliau ditahan ekoran penganjuran perhimpunan Bersih 5 pada 19 November lalu.

Di Padang Merbok, beberapa aktivis dan ahli politik memberi ucapan bersemangat bagi membantah penahanan Maria di bawah akta drakonian tersebut.bebas maria hannah yeoh

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dalam ucapannya berkata semua pihak yang mahukan kebaikan untuk negara harus menyokong perjuangan Maria, dan salah satunya adalah dengan menuntut beliau dibebaskan.

“Individu baik seperti Maria yang memperjuangkan perkara-perkara baik tidak harus dibiarkan keseorangan. Sebab itulah kita ada di sini. Kita takkan tinggalkan mereka bersendirian.

“Saya di sini bukan saja mewakili wanita, tetapi juga untuk menyokong tuntutan Bersih 5, iaitu mengukuhkan demokrasi berparlimen.

“Oleh itu kita mesti desak Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri untuk bebaskan Maria pada hari ini,” kata Speaker DUN Selangor itu, disambut sorakan gemuruh mereka yang hadir.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga pula menegaskan, Maria merupakan seorang ‘hero’ dalam perjuangan hak wanita, justeru penahanannya telah memberi kesan kepada seluruh wanita di negara ini.

“Maria berjuang hanya untuk kebenaran. Sebab itulah pihak autoriti takut kepada beliau dan takut kepada Bersih.

“Jangan biarkan mebebas mariareka memandang rendah kuasa dan keupayaan wanita di negara ini. Kita akan buat kempen agar semua wanita tidak lagi mengundi kerajaan yang menahan Maria ini pada pilihan raya akan datang,” tegasnya.

Membawa kain rentang ‘Wanita bergerak untuk Maria’, kumpulan itu kemudiannya berjalan kira-kira dua kilometer dalam pakaian kuning dan ungu ke Parlimen. Mereka turut membawa plakad dengan pelbagai slogan.

10 wakil kumpulan itu kemudiannya masuk ke Parlimen dan menyampaikan memorandum berkenaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim serta Datuk Nancy Shukri.

Program berkenaan dianjurkan oleh aktivis wanita termasuk rakan dan penyokong Maria yang menganggap penahanan ibu kepada tiga anak itu di bawah SOSMA sebagai tidak wajar dan keterlaluan. – Roketkini.com