Wawancara

Mencari Malaysia, bersama Zairil

Setiap kali timbul persoalan apa yang membentuk jati diri kita sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu jawapannya sering dikait dengan makanan atau budaya. Kita berbangga dengan kepelbagaian makanan kita, yang terbaik, dan kita juga amat berbangga ia dinamakan dalam frasa bercitra Malaysia. Semua itu tercipta untuk merai dan memenuhi ruang senggang lepak kita – namakan apa saja yang kalian tahu!

Namun, sekadar hal seputar makanan bukanlah makna hakiki menjadi rakyat Malaysia. Ia hanya sebahagian dari ciri-ciri kita, ciri Malaysia, iaitu perkara-perkara kecil yang kita buat dan sedap mata memandang, sedap telinga mendengar. Meski segala ciri ini nampak serasi dan baik-baik sahaja, namun tidak satu pun yang benar-benar merungkai dilema sebenar yang kita hadapi sebagai rakyat Malaysia.

Dilema itu ialah sebuah pergelutan panjang untuk mendamaikan Malaysia dari segala gegak gempita, momokan dan ketakutan yang diulang-ulang dari mulut sebilangan tukang politik negara ini – “Martabatkan hak Melayu!” “Jangan hina Islam!”, “Orang Cina mahu rompak kekayaan negara!” – dan orang biasa seperti kita melepak di kedai mamak sambil sama-sama minum teh tarik dan berborak tentang hal-hal biasa seperti kesesakan jalanraya.

Malaysia tidak peduli tentang retorik politik atau agama, namun, ibarat barah yang membiak dari paru-paru ke otak, dari otak ke jantung, Malaysia terperangkap dalam dakyah gila ahli-ahli politik yang menebar gelisah dan melalui media yang dikawal menyebabkan setiap kita berpecah dan terpisah akibat ketakutan.

Resah-gelisah Malaysia inilah yang mahu ditenteramkan Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera Zairil Khir Johari dalam bukunya berjudul Finding Malaysia (Mencari Malaysia), yang merupakan naskhah koleksi tulisan dan rencana sepanjang lima tahun beliau bergumul dengan kerjayanya dalam politik merangkumi pelbagai topik, tak terkecuali juga mengenai dilema politik identiti.

Sebuah buku tentang pencarian sebuah Malaysia

Dalam wawancaranya bersama The Rocket, Zairil yang berusia 34 tahun itu berkata penerbitan bukunya itu adalah sesuatu yang memang diinginkan.

“Buku ini memang saya nak buat, bukan suka-suka, tapi untuk menyatakan pandangan dan idea saya. Memandangkan saya banyak menulis sejak lima tahun lalu, saya kira apa salahnya saya ambil mana-mana bahaguan yang relevan untuk dibukukan.

“Bila saya bincang dengan editor, saya ada dua pilihan. Saya boleh kumpulkan semua kerja saya jadikan buku, dan jika saya buat begitu, boleh dapat dua buku. Tapi saya nak jadikan ia lebih bervariasi dan menyentuh isu yang relevan dan apa yang saya tumpukan, pilih mana-mana esei yang sesuai bagi tiap topik. Kemudian, akan diteliti dan ambil yang paling sesuai,” katanya.

Bukan sekadar itu, pemilihan bahan ini jelas Zairil bukan sahaja tentang memilih esei dan pembukuan semata-mata.

“Kena edit dan kemas kini, sebabnya setiap isu atau perkara itu berubah dan kita kena pastikan apa yang nak disampaikan itu tak lapuk dan ini akan memakan sedikit masa. Sebenarnya, lebih banyaimg_3071k kerja kena buat untuk buku kompilasi, tapi saya mahu hasil yang mencerminkan perjalanan politik saya. Masa yang saya juga mahu muatkan beberapa aspek tertentu yang saya minat dan yang saya rasa sesuai untuk dibaca oleh pembaca Malaysia secara umum,” jelasnya.

Buku yang dengan ketebalan 300 muka surat itu adalah mengenai isu politik identiti dan identiti Melayu dalam pendidikan, agama dan ekonomi.

Menariknya, buku ini dimulai dengan bahagian ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’ yang merupakan koleksi esei berupa penjelasan dan berkaitan apa ertinya  menjadi rakyat Malaysia.

“Umumnya ia mengenai politik identiti, dan bagaimana ia menjadi dasar atau wacana kepada hampir segala perkara di Malaysia, yang mana kalau kita gerakkan wacana tentang politik, ia bukannya persoalan mengenai wacana politik identiti tetapi berkenaan asas kepada segala bentuk wacana, sama ada ekonomi, politik atau pendidikan – tak kiralah apa pun masalahnya, ia akan dikaitkan dengan politik identiti.

“Saya fikir tema itu sesuai digunakan untuk buku ini dan saya juga pernah tulis mengenainya. Ia topik menarik, buku ni bukanlah semata-mata tentang cerita saya sebagai orang Malaysia yang berdarah campur tetapi juga sebagai seorang ahli politik, khususnya Melayu dalam DAP – perkara inilah yang menjadi akar kepada identiti saya.

Zairil memberitahu, rekaletak kulit buku tersebut mengambil konsep latar kulit album Abbey Road dari legenda pop British The Beatles. Ia memotretkan empat orang ‘Zairil’ sedang melintas jalan di hadapan Dataran Merdeka, setiap sosok gambarnya itu dikenakan pakaian yang berbeza mewakili beberapa karakter dirinya– Ahli politik DAP, Ahli Parlimen, seorang Melayu dan dirinya sebagai individu biasa, rakyat Malaysia.

“Saya buat penelitian untuk memberi gambaran sebenar, khususnya konsep keMelayuan dan politik identiti dalam ruang keMelayuan kerana perkara mendasar dalam politik Melayu merupakan identiti utama politik Malaysia, dan itulah yang menentukan bentuk perbincangan dalam buku tersebut,” tambah Zairil.

Keadaan terburuk krisis identiti

Benar, perdebatan mendasar tentang menjadi Melayu dan Melayu dalam DAP adalah perkara yang terhampir dan mahu diketengahkan Zairil.

“Apakah cabaran utama yang dihadapi orang Melayu masa ini? Krisis identiti adalah masalah terbesar!”

“Salah satu idea dalam membincangkan politik Melayu ialah tentang dualisme yang sangat jelas, dalam buku itu saya sebutkannya sebagai ketuanan Melayu dan kebimbangan Melayu. Ini adalah satu paradoks yang sempurna dan inilah masyarakat Melayu.

“Di suatu pihak, orang Melayu dibelai dengan retorik ketuanan dan memiliki lebih hak istimewa, tapi masa yang yang sama semua dasar ini… ada juga, di suatu tahap lain, sebuah lagi retorik yang menyingkap suatu perasaan tidak selamat, iaitu suatu bentuk tindakan afirmatif atau fakta kononnya Melayu terlalu lemah, tak mampu hidup tanpa kerajaan, takut terhadap kaum Cina, bukan Melayu, bukan Muslim, takut kepada salib dan Al-Kitab – ia menggambarkan suatu rasa, kegusaran, kegelisahan dan ketakutan yang amat dalam.

“Ironinya, orang Melayu berada dalam sebuah negara yang mana kita adalah majoriti, M
img_3101elayu ada dalam hampir semua institusi dan hampir di setiap peringkat, Melayu adalah dominan, dan paradoks ini amat jelas di setiap tahapan masyarakat Melayu; saya rasa inilah masalah utamanya dan jika kita tidak merungkainya, maka, tak akan wujud jalan untuk menyelesaikan dilema ini di Malaysia.

“Masa yang sama, keputusan saya bersama DAP bertujuan untuk berhadapan, berkonfrontasi dengan dilema ini. Saya perlu nyatakan bahawa ini bukanlah suatu keputusan mudah, apa yang saya katakan ini adalah benar, dan saya amat faham mengapa orang Melayu sukar menyertai DAP. Mereka dibesarkan dengan kepercayaan bahawa DAP akan menghapuskan hak-hak Melayu dan akan menjual negara ini kepada orang Cina – ini semua mitos.

“Mitos-mitos inilah sebenar-benarnya masalah rakyat Malaysia. Jika ia boleh diselesaikan, Malaysia akan menjadi lebih baik, kerana naratif palsu itu telah menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat Malaysia akibat sudut pandang yang berputar soal kaum dan agama,” katanya.

Tambah Zairil, naratif palsu tersebut merupakan punca kepada semua permasalahan, lebih bersifat politik dari segalanya dan ia merupakan dilema yang perlu dihadapi rakyat Malaysia.

“Penyertaan saya bersama DAP selama ini juga merupakan cubaan peribadi untuk berkonfrontasi dengan dilema itu dan saya lakukan semampu boleh untuk memecahkan tembok mitos tersebut, ia tak senang tapi anda harus cuba,” ujarnya.

Pengajaran dari ayah

Selain kompilasi rencana dan esei yang pernah diterbitkan, ‘Pengajaran dari ayah’ yang merupakan tajuk asal buku tersebut diletakkan di bahagian awal.

Catatan jelas dan menghiburkan Zairil perihal ayahnya seorang bekas Menteri Pendidikan Mohd Khir Johari sebagai seorang yang ceria dan baik, suka berjenaka dengan sesiapa sahaja, dan seorang yang berprinsip menjadi pemicu kepada apa yang diungkapkan Zairil sebagai titik mula perjalanan dan pengembaraannya dalam politik.

“Mulanya saya nak jadikan ia sebagai epilog. Yang lain dah selesai, tapi kemudian saya rasa kata pembuka buku saya perlu sesuatu yang lebih bersifat peribadi; bukan semata-mata sebab keberadaan saya sekarang dipengaruhi oleh ayah saya tetapi kerana beliau adalah seorang manusia.

“Jadi saya fikir saya perlu masukannya di sana supaya pembaca dapat memahami asal usul saya, dan saya fikir ia akan jadi kata pembuka yang baik untuk buku tersebut – ia akan memberikan idea kepada pembaca kenapa saya lakukan apa yang saya buat sekarang,” katanya.

Kisah yang asalnya mahu diletakkan di bahagian hadapan dipindahkan ke bahagian akhirimg_3060.

“Bahagian akhir buku tersebut juga adalah mengenai ayah dan sewaktu dia berada di Kedah zaman perang, ia mengisahkan tentang diri dan teman-temannya di dalam usia yang amat muda ketika itu, zaman penjajahan, dan juga mengenai permulaan perjuangan nasionalis mereka.

“Sebagaimana ia bermula, ia juga tentang apa yang sedang berlaku. Perjuangan mereka untuk Malaysia telah bermula tetapi pertarungan ini belum selesai. Takkan selesai dalam masa yang singkat, kita sedang berjuang untuk Malaysia dan saya rasa saya mahu akhiri buku tersebut begitu,” katanya.

Sudah tentu, perjuangan untuk Malaysia yang kita ketahui berlandaskan momokan dan hegemoni yang ditabur pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat masih berlaku hingga ke saat ini.

Sebagai rakyat Malaysia, perjuangan perlu berterusan sehingga kita mampu melangkaui segala kejahilan dan rasa tidak selesa tentang ‘apa yang menjadikan kita rakyat Malaysia’, sesungguhnya ia adalah perjuangan tanpa noktah.

Walau apapun, putik-putik harapan sedang tumbuh, dan itulah yang harus menjadi pegangan semua.

Buku tulisan Zairil ini akan berada di kedai-kedai buku utama penghujung Disember 2016 berharga RM30 senaskhah, segalanya tentang sebuah cerminan, sebuah renungan tentang perjuangan Malaysia untuk rakyat Malaysia mendepani segala onak-duri dilema identiti yang dikupas tanpa berselindung. – Roketkini.com