Berita

Hukuman tidak setimpal dan kurang pemantauan, aktiviti ulat tiket makin menjadi-jadi

JOHOR BAHRU, 1 DIS: Kurangnya pemantauan pihak berkuasa terhadap ‘ulat tiket’ mengakibatkan aktiviti penjualan tiket secara ‘pujuk dan paksa’ di Terminal Bas Larkin dekat sini semakin menjadi-jadi.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata, dalam tempoh dari Januari 2015 sehingga September 2016, hanya 13 Operasi Bersepadu bagi menangani isu itu dijalankan anggota penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Namun, katanya, denda yang dikenakan terhadap mereka yang bersalah dalam aktiviti itu hanya dalam lingkungan RM1,800 hingga RM5,000 meskipun akta berkaitan kesalahan tersebut memperuntukkan denda yang lebih tinggi selain hukuman penjara.

“Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta PAD) 2010 memperuntukkan kesalahan memujuk atau mendesak yang juga dikenali sebagai Ulat boleh dikenakan tindakan jika disabitkan.

“Mereka yang didapati bersalah mengikut Akta itu boleh dikenakan ‘denda tidak melebihi RM50,000 atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya’.

“Bagaimanapun, denda yang dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah adalah sangat ringan jika hendak dibandingkan dengan hukuman yang dinyatakan dalam Akta. Sebab itulah aktiviti ulat ini akan terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain denda yang lebih tinggi, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut mencadangkan supaya pusat sehenti (one stop centre) SPAD diwujudkan di terminal bas berkenaan bagi memantau kegiatan ‘ulat tiket’ seperti mana yang telah dilaksanakan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Memandangkan penguatkuasaan yang kurang efisien, saya juga bersetuju jika Terminal Bas Larkin menggunakan Sistem Tiket Berpusat (CTS) seperti di TBS di mana penjualan tiket secara individu oleh pengendali bas ekspres telah disepadukan di dalam satu sistem penjualan tiket yang inovatif dan terancang,” ujarnya.

Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan itu turut mempersoalkan bagaimana ‘ulat tiket’ dapat membeli tiket secara pukal daripada syarikat pengendali perkhidmatan bas.

“Adakah syarikat-syarikat bas ini juga bersekongkol ataupun ulat-ulat tiket ini juga adalah sebahagian dari mereka? Jika ya, apakah tindakan yang akan dikenakan kepada syarikat bas yang terlibat?” soalnya. – Roketkini.com