Berita

DAP tidak minta jawatan Perdana Menteri, tetap sokong Anwar Ibrahim

SHAH ALAM, 4 DIS: DAP tidak pernah meminta jawatan Perdana Menteri kerana peka terhadap isu-isu melibatkan orang Melayu dan orang Islam.

Berkata demikian, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menjelaskan DAP dari dahulu juga tidak pernah meminta supaya seorang Cina menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi kami sentiasa menyokong orang Melayu jadi PM, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi DAP tak akan kuasai kerajaan jika pakatan pembangkang menang, tetapi akan jadi rakan kongsi yang adil dan bertanggungjawab,” ujarnya dalam ucapan dasar di Persidangan Tahunan DAP 2016, di sini.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, tuduhan UMNO-Barisan Nasional (BN) kononnya DAP mengamalkan liberalisme melampau adalah tidak berasas sama sekali.

Ia berikutan peruntukan untuk kepentingan agama Islam di Pulau Pinang adalah dua kali ganda di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan berbanding zaman pimpinan BN dahulu.

“Sudah tiba masanya untuk kita menolak politik identiti yang membahagikan dan mengasingkan kita melalui politik identiti perkauman yang membiakkan kebencian dan ketakutan,” tegasnya. – Roketkini.com