Berita

Kisah veteran parti dibukukan dalam ‘Tokoh-Jatuh Bangun Veteran DAP’

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Bukan mudah untuk menggambarkan pahit maung dan liku-liku hidup yang terpaksa diharungi tokoh veteran DAP yang telah mengabdikan diri kepada perjuangan parti demi kebebasan, keadilan dan solidariti.

20161206_182238Ramai di kalangan mereka mengharungi saat-saat getir politik tanah air dengan pelbagai ancaman, penangkapan, penahanan tanpa bicara, fitnah dan penindasan dari pemerintah ketika itu.

Tanpa pengorbanan tokoh-tokoh ini, perjuangan DAP tidak akan berada pada kedudukan sekarang yang cemerlang dan semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Masa terus berlalu dan sebahagian mereka telahpun tiada, namun kisah suka duka perjuangan tokoh veteran ini diceritakan dalam bentuk yang menarik dan segar dalam buku berjudul ‘Tokoh- Jatuh Bangun Veteran DAP’.

Buku dengan ketebalan 184 mukasurat ini telah dilancarkan di Persidangan Kebangsaan DAP 2016 pada Ahad lalu sempena 50 tahun perjuangan DAP yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tokoh veteran yang dikisahkan dalam buku ini ialah Dr Chen Man Hin, Karpal Singh, Ahmad Nor, Fadzlan Yahya, Ibrahim Singgeh, Fan Yew Teng, Peter Paul Dason, Lau Dak Kee, Liew Ah Kim, Ahmad Ton dan V.David.

wan-hamidi

Wan Hamidi Hamid, editor buku Tokoh-Jatuh Bangun Veteran DAP

Menurut editor, Wan Hamidi Hamid, buku ini juga sebagai satu usaha untuk memperjelaskan lagi mengenai perjuangan DAP sebagai sebuah parti pelbagai kaum.

“Konsep parti pelbagai kaum yang kita maksudkan adalah, tidak ada masalah kalau ada kaum-kaum majoriti tertentu dalam mana-mana parti politik asalkan perjuangannya bukan untuk satu kaum tertentu.

“Buku ini menampilkan pelbagai tokoh dari latar belakang berbeza namun perjuangan mereka atas satu matlamat dan prinsip, ideologi DAP iaitu sosial demokrasi berteraskan kebebasan, keadilan dan solidariti,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berharap semoga para pembaca dapat memahami lebih dekat mengenai perjuangan DAP.

“Semoga pembaca tahu tentang kisah tokoh-tokoh ini. Ia bukan fakta membosankan tetap kisah benar yang berlaku dalam hidup mereka – memang pedih, dalam kepedihan itu ia dapat beritahu pembaca mengapa mereka terus berjuang walaupun mereka tau betapa seksa dan pedihnya berjuang dalam DAP ketika itu,” ujarnya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan ‘Tokoh-Jatuh Bangun Veteran DAP’ boleh mendapatkannya di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan dengan harga RM20 manakala versi Bahasa Cina pula berharga RM25 senaskhah. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi 03-9200 5000.