Berita

DAP mahu TNB tangguh kerja selenggara, elak gangguan air di musim perayaan

KUALA LUMPUR, 19 DIS: DAP menggesa agar pihak berwajib campur tangan dalam tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di ambang musim perayaan.

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, keputusan syarikat utiliti elektrik itu bakal mengakibatkan penduduk di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini sehingga Krismas, justeru perlu campur tangan segera menteri yang bertanggungjawab.

“Semalam, saya telah menghubungi Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Maximus Ongkili untuk campur tangan dan mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan TNB ditangguhkan ke satu tarikh yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menambah, TNB harus dipersalahkan jika sebarang kerja-kerja penyelenggaraan tetap perlu dilakukan pada tempoh berkenaan.

“Jika penambahbaikkan dan/atau kerja-kerja penyelenggaraan memang tidak boleh dielakkan seperti yang didakwa TNB, maka TNB perlu dipersalahkan sepenuhnya kerana membuat keputusan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman seperti yang dilaporkan The Star yang memaklumkan bahawa keputusan itu diambil secara sebulat suara bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara pada 31 Oktober lalu.

Ia setelah TNB sebelum ini mahu kerja-kerja berkenaan dilakukan pada 27 September.

“Keputusan kolektif ini tidak boleh diterima kerana masa yang diputuskan adalah tidak sesuai. Apa yang dikehendaki pengguna adalah keputusan yang betul dan baik dan bukan sebaliknya,” ujar Teresa. – Roketkini.com