Berita

RUU355: Parti komponen BN akan bantah atau terus ikut telunjuk UMNO?

GEORGE TOWN, 19 DIS: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) pindaan Akta 355 perlu menyatakan pendirian dengan segera jika tidak mahu dituduh sebagai ‘pak turut’ kepada UMNO.

Ia berikutan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan, semalam, yang mendesak agar RUU itu disokong komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan kerana ia akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan.

“Parti komponen BN yang menentang RUU tersebut perlu membuat pendirian jelas terhadap kenyataan Ahmad Maslan berkenaan, jika tidak mereka akan dianggap sebagai menyokong,” tegas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, RUU penuh kontroversi itu dibawa dan dibentang secara persendirian oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Mengikut prosedur, untuk sebarang akta atau RUU melepasi Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia haruslah dibentangkan sendiri oleh pihak kerajaan.

Mengulas lanjut, Ramkarpal yang juga seorang peguam berkata, DAP sebagai parti yang menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan konsisten menentang sebarang akta atau RUU yang bertentangan dengan semangat undang-undang tertinggi negara itu.

“Menjadi pendirian DAP bahawa RUU tersebut tidak mengikut Perlembagaan dan tidak akan menjadi berperlembagaan hanya kerana ia telah diambil alih oleh kerajaan untuk dibentangkan.

“Oleh itu, pendirian DAP berhubung perkara berkenaan tidak berubah, tidak kira ia dibentangkan oleh sesiapa pun kerana kandungannya tetap sama,” katanya. – Roketkini.com