Berita

Projek air graviti DAP, Impian Sabah penuhi hajat penduduk Mukim Bunga Raya

KENINGAU, 22 DIS: Projek air graviti Talayon Tanaru berjumlah RM250,000 di Mukim Bunga Raya inisiatif DAP dan Impian Sabah kini sudah selesai dan boleh digunakan.

Sistem air itu melibatkan penyambungan paip agihan sepanjang 20.7 kilometer meliputi lima kampung iaitu Kampung Melidang, Nahaba Baru, Bunga Raya, Kodop Baru dan Tonobon Baru.

Dengan adanya sistem air ini, penduduk tidak lagi terbeban dengan ‘kemarau air’ yang telah berlanjutan sejak puluhan tahun di kawasan itu.

Sudah pasti, sambutan Krismas dan persediaan musim persekolahan 2017 akan lebih ceria dan meriah.

Stephen Wong, Pengerusi DAP Sabah, Ahli Parlimen Sandakan

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tienn Fatt ketika dihubungi berkata, pelaksanaan projek-projek Impian Sabah merupakan inisiatif DAP untuk memperbaiki taraf kehidupan masyarakat menikmati kemudahan asas.

“DAP Sabah akan memperbanyakkan lagi projek-projek Impian Sabah kepada penduduk yang telah lama terpinggir dari menikmati kemudahan asas, ini komitmen kita,” kata beliau.

Ahli Parlimen Sandakan itu turut menempelak sikap wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak mempedulikan nasib penduduk di kawasan yang mereka wakili sendiri.

“Masalahnya, kerajaan tak ikhlas bantu rakyat. Dia tak dengar aduan, sepatutnya kerajaan turun padang lihat sendiri. Bila kita bawa isu sebegini ke parlimen, wakil rakyat BN tuduh kita mahu politikkan isu.

“Isu elektrik di Pensiangan misalnya; tiang ada, elektrik tak ada. Bila kita bawa di Parlimen, mereka tuduh kita cuba politikkan isu. Menteri kata kita bohong. Hakikatnya mereka tak tahu apa yang berlaku di kawasan mereka sendiri, memang betul-betul tiada elektrik,” ujarnya.

DAP bukan sekadar berjanji

Selain memberi kemudahan kepada 282 buah keluarga dengan jumlah 1,500 penduduk, projek tersebut turut menyalurkan air untuk kegunaan Sekolah Kebangsaan Bunga Raya, Klinik Desa Bunga Raya, dewan serbaguna, beberapa balai raya, sebuah surau dan empat buah gereja.

Projek tersebut dijangka dirasmikan pada bulan Januari 2017 hadapan.

Peter Saili, Pengerusi DAP Keningau

Menzahirkan rasa syukur, Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili berkata kejayaan pembinaan projek Talayon Tanaru ini merupakan bukti keazaman politik DAP meningkatkan taraf kehidupan penduduk.

“Kita bukan suka tabur janji kosong. DAP terbukti dan boleh melaksanakan pembinaan sistem air graviti yang lebih baik.

“Sekarang pun, selain projek air graviti Mukim Bunga Raya ini, DAP Keningau juga sedang merancang untuk baikpulih beberapa sistem graviti air yang rosak di beberapa tempat di DUN Tambunan,” katanya.

Projek air graviti Talayon Tanaru telah dilancarkan pada 28 Oktober lalu oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bersama Ahli Jawatankuasa DAP Sabah.

Dana yang diperoleh bagi projek tersebut merupakan hasil kutipan amal dari seluruh rakyat Malaysia atas inisiatif DAP dan Impian Sabah. – Roketkini.com