Berita

Nahas bas ekspres di Johor, DAP rakam ucapan takziah

*Kredit foto: Ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

KLUANG, 24 DIS: DAP Johor merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa tragedi kemalangan melibatkan bas ekspres Alisan dekat Pagoh pagi tadi.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam satu kenyataan berkata beliau merasa amat sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana telah lama menyuarakan isu keselamatan jalan raya di dalam dan luar Parlimen sebelum ini.

Jelasnya, beliau secara konsisten mendesak pihak kerajaan agar menubuhkan Panel Penasihat Bebas sejak 2013 sejurus selepas tragedi Genting Highlands yang turut melibatkan sebuah bas ekspres.

“Saya menggesa agar Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) segera merangka solusi tuntas bagi memastikan hal ini tidak berulang lagi.

“Isu-isu seperti keselamatan, perlesenan, penggajian yang bersesuaian dan kebajikan pemandu adalah antara aspek yang perlu diberi perhatian dan menuntut keazaman politik yang tinggi agar penambahbaikan serta pembaharuan dapat direalisasikan,” katanya.

Rakyat Malaysia pagi tadi dikejutkan dengan kemalangan tragis yang mengorbankan nyawa 14 individu serta 16 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres Alisan terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan dekat Pagoh.

Menurut Pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri, kemalangan tersebut turut mengorbankan pemandu dan seorang kanak-kanak. – Roketkini.com