Berita

Industri bas jarak jauh: Kerajaan digesa bawa pembaharuan agar keselamatan penumpang terjamin

JOHOR BAHRU, 27 DIS: Kerajaan mesti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai industri bas jarak jauh supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan kemudahan itu dengan selamat tanpa sebarang kebimbangan.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, saranan itu bertujuan untuk memastikan pembaharuan meliputi kebajikan pemandu dari sudut gaji dan kesihatan, serta keselamatan kenderaan terjamin.

Ia susulan dakwaan bahawa pemandu bas yang terlibat dalam insiden kemalangan di Pagoh beberapa hari lalu hanya dapat tidur selama tiga jam sebelum memulakan perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Bahru.

“Hanya siasatan menyeluruh yang boleh menjelaskan jika perkara itu benar.

“Tapi ada dakwaan mengatakan imbuhan rendah dalam industri bas jarak jauh menggalakkan pemandu bekerja untuk lebih banyak perjalanan dengan beberapa pemandu mengambil ‘ubat’ agar mereka dapat berjaga,” katanya.

Menurut Pengerusi DAP Johor berkenaan, tragedi kemalangan bas Genting Highlands pada 2013 sepatutnya menjadi iktibar kepada semua badan kerajaan yang terlibat, namun tidak wujud sebarang tindakan susulan.

Laporan kemalangan bas itu, katanya, telah diserahkan kepada Kabinet pada 28 Januari 2014 dengan menyenaraikan 51 cadangan yang harus dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

“Namun, tiada sebarang perubahan dibuat walaupun ia melibatkan penilaian institusi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Puspakom,” ujarnya.

“Kita tidak boleh duduk diam sementara berjuta-juta rakyat Malaysia menggunakan khidmat bas jarak jauh tanpa jaminan keselamatan.

“Masyarakat secara umumnya tidak akan mendapat manfaat jika semua orang hilang keyakinan dalam industri bas jarak jauh dan mula memandu kereta persendirian,” tegasnya. – Roketkini.com