Berita

Jamal Yunos didakwa terima peruntukan AP, kerana terima layanan istimewa UMNO

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Di sebalik kontroversi dan publisiti meluas media terhadap samseng UMNO Datuk Seri Jamal Yunos, kerajaan BN hari ini digesa untuk menjelaskan apa istimewanya individu terbabit yang masih mudah mendapat AP bagi kereta import.

“Kerajaan BN mesti menjelaskan apa merit yang Jamal ada untuk mendapatkan peruntukan AP tersebut.

Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Segambut

“Apa istimewanya Jamal sehingga mendapat layanan khas daripada kerajaan BN dalam hal AP?” soal Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan jumlah AP kereta import yang telah diberikan kepada syarikat kenderaan milik Jamal setiap tahun.

“Kenapa tidak sebahagian daripada AP milik Jamal itu diberikan kepada usahawan muda lain?” soalnya.

Lip Eng berkata demikian mengulas tindakan Ketua UMNO Sungai Besar itu yang lantang mengkritik kononnya kerajaan Selangor pilih kasih apabila memberikan layanan istimewa kepada pengusaha ‘Nasi Lemak Anak Dara’ manakala premis hotelnya, disita Majlis Daerah Sabak Bernam.

“Saya ingin ingatkan beliau bahawa resort tersebut adalah sebuah perusahaan tidak sah di sisi undang-undang, di mana Jamal sebagai pemiliknya telah melanggar arahan pihak berkuasa tempatan berkali-kali.

“Berbeza dengan Siti Hajjar yang menerima borang permohonan lesen niaga ketika lawatan Menteri Besar ke gerainya. Kelulusan diberikan setelah mematuhi syarat-syarat yang dikenakan,” ujarnya, sambil menyifatkan ketua kumpulan Baju Merah itu sebagai seorang yang sangat gigih mencari publisiti murahan.

Minggu lalu, Jamal muncul di hadapan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dengan sekadar berkemban tuala dan menyelit berus gigi ke telinga, dengan alasan mahu menumbang mandi di pejabat Menteri Besar lantaran gangguan air di rumahnya.  – Roketkini.com