Berita

Pulau Pinang laksana sembilan projek mitigasi banjir mulai 2017

GEORGE TOWN, 28 DIS: Bukan satu atau dua, malah sembilan projek mitigasi banjir akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mengatasi masalah banjir di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, ia akan menggunakan peruntukan khas Kerajaan Negeri berjumlah RM150 juta, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa pembentangan Belanjawan Negeri 2017 baru-baru ini.

Dengan pelaksanaan projek mitigasi tersebut, Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berharap agar kawasan yang berkecenderungan banjir dapat dikurangkan serta memudahkan aktiviti rakyat negeri berkenaan.

“Kita akan melihat pelaksanaannya bermula dengan lantikan juru perunding, reka bentuk terperinci, menyediakan dokumen-dokumen kontrak, menjalankan tender dan kemudian membuat lantikan.

“Proses ini adalah proses lazim dan akan mengambil masa beberapa bulan. Dijangka kerja-kerja akan dilaksanakan menjelang Januari 2018 nanti,” katanya pada sidang media di Komtar.

Turut bersama beliau adalah Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok dan Timbalannya, S. Ratna Rajah.

Kon Yeow yang juga Adun Padang Kota menambah, selain sembilan projek berkenaan, Kerajaan Negeri akan meluluskan sekitar 60 projek lain yang akan dibiayai oleh syarikat-syarikat pemaju.

Beliau yakin bahawa projek berkenaan mampu menyelesaikan masalah banjir di Pulau Pinang secara keseluruhan.

“Di kawasan projek mitigasi banjir sudah bermula, insiden banjir semakin berkurang. Jadi kita harap apabila lebih banyak projek dilaksanakan, kawasan cenderung banjir juga turut berkurang,” ujarnya. – Roketkini.com