Rencana

Apa khabar orang Felda?

Beberapa hari yang lalu, saya menghabiskan masa dalam tanah rancangan Felda Tersang di Raub. Saya mahu merasai denyut kehidupan warga Felda dengan perspektif baru yang saya ada. Iaitu dengan maklumat mengenai Felda Global Ventures (FGV), pelaburan Felda dalam pelbagai hartanah, pembelian bangunan, pembelian perniagaan dan paling akhir, pembelian Eagle High Plantations pada harga RM2.3 bilon.

Maknanya, Felda menjalankan urusannya dengan tidak mendengar keluhan dan rintihan peneroka dalam lebih 300 tanah rancangannya meliputi 112,635 peneroka dengan 1.5 juta warga Felda keseluruhannya.

Ertinya, tahap kepedulian Felda dan orang-orang di belakang Felda terhadap masalah yang dihadapi oleh masyarakat Felda adalah pada tahap minima, namun orang Felda mahu lagi menyokong pemerintah?

Serupa juga seperti yang saya jelaskan kepada pengundi Cina, jangan tentang kerajaan kerana sebab-sebab yang tidak betul; demikianlah juga, warga Felda, jangan sokong kerajaan kerana sebab-sebab yang tidak betul.

Jangan kita lawan atas dasar perkauman melampau. Kita mesti mendidik diri kita semua untuk menolak kerajaan for the right reasons, kata orang putih.

Yakni, orang Cina jangan semata mata menolak kerajaan Umno kerana ianya ‘Melayu’. Mereka mesti tidak menyokong kerajaan kerana ia tidak adil, kerana pemimpinnya memusnahkan kepercayaan yang kita beri, kerana kerajaan dan pemimpin menyalahguna kuasa dengan  menggunakannya untuk mengayakan diri dan menyekat proses pengadilan.

Jangan sokong kerajaan yang kita beri dia kebebasan- dia mahu memerintah secara absolute tanpa batasan lalu dia menindas rakyat, menekan rakyat, membuli rakyat. Jangan sokong kerajaan yang rasuah dan merompak kekayaan negara. Jangan sokong kerajaan kleptokrasi.

Ini sebab-sebab sejagat yang disertai semua rakyat. Jangan kita tidak sokong kerana sebabnya ia ‘kerajaan Melayu’.

Jangan menyokong yang bawa rebah

Demikian juga, orang Felda yang rata-rata Melayu, jangan sokong atas sebab-sebab yang salah iaitu hanya kerana Najib dan Umno itu Melayu, agama Islam. Jangan kerana itu maka kita lupakan soal kepercayaan yang telah dimusnahkan mereka, jangan lupa kepada kuasa yang dia salahguna, kekebasan untuk melakukan penindasan, picit dan ugut rakyat.

Kita mesti tolak mereka kerana kerajaan yang tidak cekap, rasuah, salah guna kuasa, memusnahkan kepercayaan, bertindak di luar ruang kebebasan yang kita beri. Kita beri kebebasan kepada PM negara ini untuk mengurus negara mengikut prinsip-prinsip demokrasi, memerintah ikut undang-undang dan bukan memerintah ikut sedap mata dan hati.

Adakah kegelisahan-kegelisahan ini juga merupakan perkara yang di runsingkan oleh orang Felda?

Jika begitu, orang Felda nampaknya kurang peduli mengenai dunia luar Felda kecuali kepentingan terdekat mereka.

Adakah perkara ini terkesan dalam pemikiran orang Felda?

Sebab, pada pandangan umum, nampak seolah-olah, orang Felda tidak peduli dengan apa yang berlaku di dunia luar rancangan Felda. Keadaan mereka selesa dan keselesaan tersebut menyebabkan mereka tidak kisah dengan keresahan rakyat diluar Felda.

Jika orang Felda tidak peduli akan hal orang diluar Felda, soalan yang mungkin timbul ialah, mengapa orang luar Felda mahu peduli mengenai kesusahan Felda yang sedikit itu?

Apakah usaha-usaha yang di jalankan oleh orang seperti Mazlan Aliman, Rafizi Ramli dan ramai lagi tidak memberi kesan keatas perasaan dan sikap orang Felda? Felda sedang diancam oleh pemerintahan kleptokrasi, iaitu pemerintahan ‘kerajaan pencuri’, adakah warga Felda masih mahu berdiam diri?

Kesusahan orang Felda nampaknya berkisar pada masaalah pentadbiran sahaja bukannya masaalah yang fundamental. Kesusahan Felda ialah pertikaian mengenai kadar perahan, elaun sara hidup yang tidak cukup, penyata kewangan yang tidak diberikan, pembayaran kepada peneroka yang tidak terjelas dalam bulan semasa, beban hutang yang ditanggung. Itu sahaja.

Seolah olah kalau semua ini selesai, salah laku penyelewenagan, kecuaian tanggungjawab oleh Felda boleh dilupakan. Adakah mentaliti orang Felda sama seperti sebahagian mentaliti orang Melayu yang bersedia memaafkan Najib, jika Najib terus memberi BR1M, jika Najib terus menunjukkan boleh menyediakan projek mega berbilion Ringgit?

Soal barah dalaman seperti rasuah, tidak jujur pada amanah yang diberi, salah guna kuasa, menganjingkan kepercayaan yang diberi dan mencabul kebebasan yang kita serah kepada pemimpin, tidak mendapat kepedulian yang sepatutnya.

Jika kita tidak berjaya mengeluarkan orang Felda daripada ‘keselesaan’ ini, maka, sampai bila kita tidak boleh harapkan orang Felda untuk membantu kita menang? Itulah sebabnya, dalam setiap pilihan raya umum, undi Felda menyumbang kepada banyak kerusi parlimen kepada Umno.

Atau pada tanggapan orang Felda, skandal-skandal ini semua ciptaan pembangkang dan orang yang anti-Najib. Bahkan, pengurus Felda Tersang mengatakan bahawa masaalah yang dihadapi oleh peneroka felda tersang ialah kerana parlimen Raub sudah ditakluki oleh DAP. Maka, jika DAP yang mengepalai pemerintahan di Malaysia, musibah yang dialami oleh peneroka Felda akan merebak keseluruh tanah air.

Jangan tunggu sehingga musibah besar datang

Kita hanya perlu berhenti sejenak dan memikir apa musibahnya? Harga buah sawit, masalah penyata pendapatan dan kos? Masalah pembayaran yang dilewatkan? Kadar perahan? Elaun sara hidup yang tidak cukup? Masalah generasi ke-2?

Semua masalah ini tidak ada kaitan dengan DAP atau parti pembangkang. Semua masalah ini ada kaitan dengan pemerintah masa ini iaitu Umno. Musibah yang melanda semua orang termasuk peneroka, adalah hasil perbuatan kerajaan Najib Tun Razak.

Masalahnya saat ini mungkin orang Felda gagal melihat, bahawa semua kita berdepan dengan masalah yang sama iaitu diperintah oleh rejim kleptokrasi. Dunia orang Felda akan hancur berkecai jika kita tidak sama-sama membetulkan keadaan. Tidak lama lagi, akan tidak ada masa depan untuk anak-anak dan cucu peneroka Felda.

Untuk perubahan yang lebih baik bukan sahaja perjuangan orang Felda tetapi perjuangan kita semua. Perjuangan masyarakat umum adalah untuk kepentingan orang Felda menyertainya.

*Datuk Mohd Ariff Sabri merupakan Ahli Parlimen Raub mewakili parti DAP