Berita

Aktivis Orang Asal, bekas Pengerusi Bersih 2.0 Sabah, Jannie Lasimbang sertai DAP

KOTA KINABALU, 8 JAN: Aktivis Orang Asal dan bekas Pengerusi Bersih Sabah 2.0, Jannie Lasimbang menyerahkan borang keahlian menyertai DAP dalam satu majlis malam semalam.

Penyerahan borang keahlian itu dibuat kepada Pengerusi DAP Sabah, Steven Wong Tien Fatt, disaksikan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, ahli jawatankuasa DAP Sabah dan hadirin sempena Rumah Terbuka Natal, DUN Kepayan.

Dalam ucapannya, beliau berkata penyertaan beliau ke dalam DAP merupakan hasil komitmen DAP terhadap perjuangan wanita dalam negara ini.

“Bagi Saya DAP adalah sebuah parti dalam barisan pembangkang yang kredibel, yang boleh kita percaya. DAP juga adalah parti yang konsisten suarakan isu rakyat.

“Ia (DAP) juga berani mengubah strukturnya dalam memastikan perlembagaannya diubah supaya 30 peratus daripada pembuat keputusan adalah wanita,” kata Jannie.

Menurut bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) itu, wanita perlu diberi tempat yang wajar dalam proses membuat keputusan supaya wujud lebih keadilan dalam perjuangan mengangkat taraf wanita.

Jannie merupakan anak kelahiran Penampang sebelum ini pernah menjadi wartawan bagi RTM Sabah sebelum menjawat sebagai kakitangan awam Jabatan Hasil Dalam Negeri Sabah selama dua tahun.

Beliau merupakan siswazah Sarjana Muda Bio Kimia dari University Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1984.

Pada tahun 1987, beliau turut menjadi sebahagian dari pengasas Partners of Community Organisations in Sabah (PACOS Trust) yang merupakan sebuah pertubuhan sukarela memberi fokus kepada pembangunan kualiti hidup masyarakat pribumi di Sabah.

Di peringkat antarabangsa, Jannie pernah menjadi Setiausaha Agung Pakatan Penduduk Pribumi Asia dan Pengerusi Dana Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Komuniti Orang Asal. -Roketkini.com