Rencana

Reformasi PBT: Ahli Majlis, AJK JPP kini jadi ejen parti politik

Sistem demokrasi di Malaysia secara amnya cukup baik, namun ia bukan dalam kelas ‘politik polisi’ sebaliknya ‘politik kepartian’. Kerana itu kita sering lihat dan dengar, banyak isu-isu atau masalah rakyat dikawasan tempatan menjadi pertikaian politik kepartian, bukan penyelesaian kepada politik polisi.

Saya beranggapan keadaan ini sudah menjadi krisis yang parah. Garis politik ‘parti dan ideologi’ dengan ‘politik polisi’ sudah tidak ada. Ini cukup merbahaya, ia lebih berbahaya dari omongan ancaman komunis, liberalisasi hatta teroris.

Mengapa sampai begitu sekali perspektif yang saya berikan?

Objektifnya cukup mudah, dengan garis politik kepartian ini, ia akan menyebabkan kebebasan rakyat terancam, hubungan antara masyarakat menjadi rosak, rakyat hilang kepercayaan kepada institusi awam seperti PBT dan saling membenci sesama kelompok masyarakat termasuk antara kaum dan agama. Ini menjahamkan aspirasi negara bangsa.

Kita boleh senaraikan isu-isu yang pada asalnya hanya berkaitan hal teknikal, seperti isu pertukaran status tanah perkuburan Cina kepada perkuburan Islam. Masalah seperti ini secara dasarnya berpunca dari kesilapan membuat perancangan, bukan isu perkauman atau agama.

Maka seharusnya isu seperti ini diselesaikan secara kontuar antara Ahli Majlis, wakil penduduk dan Pihak Berkuasa Tempatan mahupun kontraktor. Kembalilah kepada minit perbicangan, semak kembali laporan, ambil kira memorandum bantahan, buat dialog dsb. Semua ini ada dalam SOP setiap Jawatankuasa di PBT. Ini bukan masalah politik parti.

Sebaliknya, ini kelemahan parti yang apabila menang, tidak menyediakan polisi yang jelas dan tidak melaksanakan polisi dengan adil.

Begitu juga dengan masalah banjir, sampah dan kebersihan, pusat-pusat penternakan, pusat-pusat hiburan, masalah jalan berlubang, penyelenggaraan premis awam, setinggan, kilang haram, penyaluran bantuan bencana atau kebajikan dan sebagainya.

Oleh kerana, Ahli-ahli Majlis ini berdasarkan lantikan kuota parti politik, maka secara lazimnya mentaliti ahli-ahli majlis ini merasa bertanggungjawab kepada tuan-tuan politik yang mencadang/mencalonkan nama mereka hingga dilantik menjadi Ahli Majlis PBT, bukan merasa bertanggungjawab kepada rakyat dan isu asasi. Ini kelemahan sistem.

Maka, kerja-kerja awam dan masalah dilapangan, diambil secara garis politik kepartian, bukan secara polisi. Apabila timbul masalah-masalah seperti yang saya sebutkan ini, ia bertukar menjadi permainan politik antara parti.

Ini sangat kerap berlaku dikawasan-kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat yang berlainan parti politik pemerintah, khususnya di Johor, Perak, N.Sembilan, Pahang dll.

Hal ini sudah sering dibangkitkan, garis antara profesionalisme dengan keahlian parti oleh Ahli Majlis sudah tidak wujud. Sedangkan, diatas kertas, peranan Ahli Majlis ini cukup jelas, tiada langsung disebut berkhidmat kepada parti atau ahli politik.

Kita boleh lihat dengan jelas lagi krisis ini secara purata dan nisbah ejen-ejen parti politik pada hari ini di kawasan kita.

Di setiap Parlimen, akan diwakili oleh seorang Ahli Parlimen, umumnya satu parlimen (pusat) terdiri daripada 2 atau 3 kawasan Dun (negeri), bermakna disini sudah ada 3 hingga 4 orang wakil rakyat yang sememangnya orang politik. Jelas.

Dalam satu parlimen juga pasti ada sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang mana setiap PBT ini dipecahkan lagi kepada purata 24 zon, bermakna ada 24 Ahli Majlis yang dilantik berdasarkan kuota parti politik, bermakna bertambah 24 orang Ahli Majlis. Mereka ini saya anggap sebagai ejen parti atau ketua politik, bukan wakil PBT.

Pada 29 Mei 2015, Najib Tun Razak melancarkan sebuah badan baru iaitu Jawatankuasa Perwakilan Penduduk. JPP ini wujud di seluruh PBT di Malaysia. Saya anggap ini semata-mata untuk memastikan parti pemerintah pusat dapat membina pengaruhnya diakar umbi, bukan menyelesaikan masalah rakyat dan PBT.

Wakil JPP ini wujud disetiap zon bagi setiap Ahli Majlis di PBT, jika PBT mempunyai 24 zon dan 24 Ahli Majlis, maka setiap zon JPP pula diwakili oleh 10 orang AJK dengan seorang ketua.

Ahli-ahli JPP ini juga dilantik berdasarkan kuota parti politik (parti pemerintah pusat). Maka, jika setiap zon ada 10 AJK, bermakna ada lagi penambahan sebanyak 240 orang ejen parti politik di setiap PBT, seluruh Malaysia. Dengan nisbah ini, ejen-ejen politik parti sudah ada 264 orang di setiap PBT.

Jika jumlah AJK JPP ini ditukar peranannya menjadi ketua peti undi, maka parti seperti UMNO dan MCA, tidak ada masalah untuk menentukan jumlah undi mereka, bukan itu saja, rakyat juga terdedah dengan gangguan politik apabila  sesuatu isu tempatan dibangkitkan kepada Ahli majlis atau AJK JPP ini.

Inilah matlamat tersembunyi dibalik helaian kertas perlantikan Ahli Majlis dan JPP. Perlu disedari, jumlah-jumlah ini tidak termasuk lagi ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung JKKK.

Nisbah-nisbah ini tidak menggambarkan penyelesaian polisi terhadap masalah rakyat. Sebaliknya ia memberi gambaran ejen-ejen parti politik ini akan mengancam pelan pembangunan tempatan dan kebajikan rakyat.

Ia mendatangkan bahaya kerana isu-isu rakyat, isu-isu sampah, isu-isu penyelenggaraan, isu tanah, isu keselamatan dsb akan bertukar menjadi isu politik kepartian yang tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah kita.

Dengan kata lain, institusi Ahli Majlis termasuk JPP ini adalah ejen politik parti yang boleh merosakkan integriti dan kecekapan PBT. Fungsinya harus disemak kembali. -Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor