Berita

Ku Nan harus ingat, UMNO bebankan hidup Melayu seluruh negara

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Orang Melayu yang hidup susah bukan hanya ada di Pulau Pinang, tetapi di seluruh negara akibat dihimpit kenaikan kos sara hidup angkara pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Jadi, ia tidak boleh dijadikan alasan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor untuk ‘menjajah’ Pulau Pinang dengan meletakkannya di bawah Wilayah Persekutuan, kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

“Ramai lagi yang susah, termasuk para OKU, warga emas, penganggur dan gelandangan di seluruh Malaysia, malah ramai berpusat di Kuala Lumpur yang ‘diperintah’ Ku Nan,” katanya.

Golongan tersebut, jelasnya, harus dibantu agar dapat membeli barangan keperluan tanpa dikenakan cukai GST, namun langkah itu tidak pula dilaksanakan oleh kerajaan UMNO Barisan Nasional.

“Sewaktu kerajaan BN membebani rakyat dengan GST, tidak pula Ku Nan terfikir untuk membantu orang Melayu yang ikut terbeban.

“Kalaulah benda sebegini mudah pun Ku Nan tidak boleh buat, apa sahaja cadangan yang datang daripada BN untuk ‘membantu’ Melayu susah adalah tidak lain sekadar gimik pilihan raya,” jelasnya lagi.

Ku Nan dalam wawancara dengan stesen radio BFM pada 1 Februari lalu berkata beliau berharap konsep wilayah persekutuan boleh dikembangkan kepada wilayah atau negeri lain.

Dengan pelaksanaan berkenaan, beliau dilapor menyatakan mahu ‘mengambil’ Langkawi, Pulau Pinang, dan bahagian tertentu Melaka.

Menurut Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ku Nan mungkin telah ‘tersalah negeri’ jika benar satu-satunya agenda beliau adalah untuk membantu orang Melayu kerana antara dua negeri paling miskin di Malaysia adalah Kelantan dan Terengganu.

“Paling tidak Ku Nan harus terkedepan dalam usaha mengembalikan royalti minyak kepada rakyat Kelantan, agar negeri itu boleh berhenti menjalankan aktiviti balak secara berleluasa.

Sepatutnya menteri ini boleh mendatangkan alasan (untuk memasukkan Pulau Pinang) yang lebih baik.

“Atau paling tidak beritahu rakyat Pulau Pinang bahawa UMNO akan sanggup melakukan apa saja untuk menghalang negeri itu dari terus ditadbir Pakatan Harapan, termasuk dengan menjadikannya salah satu Wilayah Persekutuan.” ujarnya.