Berita

Jika Uber dan Grab boleh, mengapa Dego Ride tak boleh?

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa menghentikan usaha memburu dan mengenakan saman terhadap penunggang motorsikal yang menjalankan perkhidmatan Dego Ride mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, ini kerana pemandu Grab dan Uber yang turut melanggar akta yang sama dengan menyediakan perkhidmatan serupa sebaliknya mendapat layanan istimewa daripada kerajaan.

“Mengeluarkan saman mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap penunggang Dego Ride adalah jelas amalan dwi-standard (oleh kerajaan) sedangkan hampir kesemua pemandu Uber dan Grab melakukan kesalahan yang sama.

“Namun, kita tidak pernah dengar JPJ ingin memburu pemandu Uber dan Grab, sebaliknya kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan Uber dan Grab beroperasi secara sah kerana sedar akan faedahnya kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, menurut Rajiv yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai harus memberi layanan serupa terhadap penunggang Dego Ride bagi mengalakkan rakyat negara ini menggunakan pengangkutan awam.

Dego Ride memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah ‘first mile last mile’, dan mampu mengalakkan lagi rakyat Malaysia bertukar daripada penggunaan kereta persendirian kepada perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan lain-lain,” ujarnya.

Tiong Lai, seperti yang dilaporkan Sabtu lalu, mengarahkan supaya perkhidmatan teksi motorsikal berkenaan dihentikan serta merta atas faktor keselamatan. JPJ turut dilaporkan mula mengeluarkan saman terhadap penunggang Dego Ride.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj bagaimanapun sebelum ini dilaporkan berkata tiada peruntukan undang-undang yang menghalang mereka untuk terus menjalankan operasi perkhidmatan tersebut.

Katanya, perkhidmatan itu diasaskan bukan sekadar untuk mencari keuntungan semata-mata, malah bagi membantu golongan B40 untuk menjana pendapatan sampingan dengan bermodalkan motorsikal sebagai pelaburan pertama.

Ia juga dilihat selaras dengan hasrat kerajaan UMNO-BN supaya rakyat negara ini melakukan dua, tiga atau lebih pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang kian meningkat.- Roketkini.com