Berita

Pastikan remaja terlibat kes Balamurugan tidak didera dalam tahanan – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Kerajaan mesti memastikan dua remaja berusia 16 tahun yang ditahan semula berkaitan kes S. Balamurugan, tidak didera secara fizikal semasa dalam tahanan polis.

Hal ini berikutan kematian Balamurugan pada 8 Februari lalu disahkan berlaku akibat ‘mengalami pelbagai pukulan’ semasa ditahan polis, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Keputusan bedah siasat kedua yang dijalankan Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini menunjukkan beliau dicederakan di dada, kepala, kaki dan belakang yang menyebabkan kegagalan jantung.

Sehubungan itu, Kit Siang bimbang perkara sama boleh berlaku terhadap dua remaja berkenaan.

“Malah, peguam mereka, Mishant Thiruchelvam mendakwa dua remaja 16 tahun itu dipukul dan ditahan di lokap dewasa,” ujarnya.

Kit Siang bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada Selasa lalu mengadakan sidang media berhubung penyalahgunaan kuasa dan penderaan yang melibatkan polis.

Selain Balamurugan, terdapat pihak lain yang mendakwa menjadi mangsa pukulan dan penderaan polis, termasuk golongan remaja bawah umur.

Antaranya, Mikail Quay, 16, yang dipukul di sekatan jalan raya di Shah Alam sehingga menyebabkan beliau mengalami keretakan di bahagian tengkorak dengan kecederaan di muka, hidung dan tulang pipi.

Ang Kian Kok, 16, pula mendakwa digantung terbalik dan dipukul oleh polis, manakala P. Elaamaran, 14 disepak, dipukul dan dibaling dengan kasut semasa penahanan.

Menurut Kit Siang, sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi memulihkan institusi polis dari sebarang rasuah, salah laku dan penyalahgunaan kuasa.

“IPCMC merupakan cadangan terpenting oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa pentadbirannya bagi mengubah Malaysia ke arah ketelusan dan akauntabiliti.

“Sayangnya, ia masih tidak ditubuhkan sehingga hari ini. Oleh itu, saya menyeru Kabinet menyokong rang undang-undang persendirian saya mengenai penubuhan IPCMC,” ujarnya.  – Roketkini.com