Berita

Program tingkat ekonomi rakyat P. Pinang berjaya walaupun tanpa GST

GEORGE TOWN, 27 FEB: Program Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang diperkenalkan di Pulau Pinang adalah untuk memastikan setiap keluarga menerima sekurang-kurangnya RM790 sebulan.

Ia termasuklah memberi ‘tambah nilai’ (top-up) kepada mana-mana keluarga yang berpendapatan per kapita kurang daripada RM220 agar memperolehi jumlah minimum berkenaan.

Selain itu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan turut memberi sumbangan kepada rakyat melalui program-program emas seperti Program Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan OKU, Program Bantuan Ibu Tunggal serta Program Ibu Emas.

Semua penerima memperoleh RM100 setiap tahun oleh Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Bagi meringankan beban ibu bapa pula, Kerajaan Negeri turut memberikan bantuan sebanyak RM100 kepada Pelajar Tahun 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4 di bawah Skim Pelajar Emas.

Manakala, bantuan sebanyak RM200 diberikan melalui Program Anak Emas serta RM1,000 turut diperuntukkan kepada mahasiswa.

“Bagi meringankan beban waris warga emas, ibu tunggal dan OKU dalam pengurusan jenazah, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan juga memberikan bantuan berjumlah RM1,000,” katanya hari ini.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapat pujian Transparency International sebagai kerajaan pertama di Malaysia yang mengamalkan sistem pro-rakyat seperti itu.

“Semua ini dapat dilaksanakan kerana pentadbiran CAT dan kepimpinan bersih yang membolehkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sentiasa mencatatkan lebihan Belanjawan tanpa perlu mengenakan GST.

“Ini dapat dilihat dengan lebihan Belanjawan terkumpul sejak tahun 2008 sebanyak RM574 juta yang jauh lebih besar daripada lebihan Belanjawan 50 tahun Kerajaan Negeri sebelum ini (1957-2007) sebanyak RM373 juta sahaja,” ujarnya. – Roketkini.com