Berita

Tsunami politik akar umbi Melayu bakal tumbangkan UMNO dalam PRU akan datang

MIRI, 28 FEB: Tidak mustahil ‘tsunami politik’ yang melanda negara sehingga menyaksikan kemenangan besar pakatan pembangkang dalam dua pilihan raya umum (PRU) lalu mampu berulang lagi.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, terdapat beberapa faktor yang memungkinkan Barisan Nasional kalah dalam pilihan raya, sekaligus mencipta sejarah menjadi pembangkang buat pertama kali di peringkat Persekutuan.

Katanya, strategi ‘ketuanan Melayu’ UMNO tanpa menghiraukan sensitiviti parti komponen Barisan Nasional (BN) lain antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan teruk MCA, MIC dan Gerakan dalam PRU 2008 dan 2013.

Ia ditambah dengan kegagalan UMNO memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sejak 2013 sehingga dilihat terpaksa bekerjasama dengan PAS bagi mewujudkan pola penentangan antara Melayu dan bukan Melayu.

“UMNO berharap bahawa pakatan sulitnya dengan PAS akan memecahkan lagi masyarakat dengan mewujudkan persaingan antara Islam dan bukan Islam.

“Mereka turut berharap gabungan UMNO-PAS akan memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, menurut Chin Tong, tindakan UMNO itu menimbulkan masalah lain dengan pengundi bukan Melayu dari semenanjung termasuk majoriti di Sabah dan Sarawak mula menjarakkan diri dari parti itu.

Faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga katanya, yang kini dianggap liabiliti kepada UMNO ekoran skandal 1MDB serta dasar membebankan seperti GST, kenaikan harga minyak dan potongan bajet kesihatan dan pendidikan boleh menyumbang kepada kekalahan BN.

“Pihak yang marah dengan sikap pemimpin UMNO itu telahpun menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan parti tersebut telah membuka jalan kepada kawasan yang sebelum ini tidak dapat dimasuki oleh pakatan pembangkang,” ujarnya.

Malah, Pengerusi DAP Johor itu menjelaskan, BN hanya menang tipis dengan kurang 55 peratus undi di 60 daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi mereka dalam PRU 2013.

“16 daripada kerusi itu pula dimenangi dengan kurang 50 peratus undi. Malah, terdapat 11 kerusi Parlimen di Johor mampu ditawan jika sokongan memihak kepada pakatan pembangkang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kluang.

Katanya, kawasan yang dimenangi BN dengan undi kurang 55 peratus di Selatan Johor antaranya melibatkan kawasan Parlimen Pasir Gudang, Pulai, Tebrau, Tanjong Piai dan Johor Bahru, manakala di Utara Johor; Labis, Segamat, Ledang, Muar, Sekijang dan Pagoh.

Selain itu, berdasarkan pemerhatian akar umbi katanya, pakatan pembangkang khususnya Bersatu bakal memberi tentangan hebat antaranya di Langkawi dan Kubang Pasu menjadikan Kedah antara negeri yang mampu dirampas pembangkang daripada BN.

Selain dua kawasan berkenaan, katanya, lapan lagi kerusi bahaya kepada BN dengan undi kurang 55 peratus adalah kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baru, Pendang, Merbok, Baling, Sik, Jerlun dan Padang Terap.  – Roketkini.com