Berita

Khaled Nordin dinasihat perangi rasuah di Johor, jangan jadi negeri kleptokrasi

GELANG PATAH, 1 MAC: Kerajaan Negeri Johor dinasihatkan supaya tidak dilihat seperti bersaing dalam soal kleptokrasi seperti Sabah yang melalui skandal rasuah mega melibatkan agensi bekalan air negeri itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang justeru menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar membuat usul khas di persidangan Dewan Negeri akan datang bagi mengisytiharkan rasuah sebagai musuh nombor satu negeri berkenaan.

Usul itu, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, harus disertakan dengan langkah-langkah yang akan diambil kerajaan Johor bagi menangani skandal rasuah hartanah yang menggemparkan negeri itu baru-baru ini.

“Khaled harus ingat bahawa Johor telah melahirkan dua pemimpin tegar penentang amalan rasuah dalam sejarah negara – yang pertama adalah Presiden UMNO yang ketiga, Datuk Onn Jaafar dan anaknya, Tun Hussein Onn.

“Adalah menyedihkan bagi negeri Johor, yang mana telah melahirkan dua tokoh penting sebegitu, jika ia akhirnya menjadi negeri kleptokrasi seperti Sabah,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keengganan Khaled untuk melakukan siasatan dalaman berhubung kes skandal rasuah hartanah yang melibatkan anak kepada pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan Johor yang telah ditahan pihak berkuasa Sabtu lalu.

Turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dua orang pemaju, seorang peguam, dan seorang orang awam.

SPRM turut dilaporkan merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Manakala di Sabah, pada Oktober tahun lalu, SPRM dilaporkan merampas RM112 juta wang tunai ekoran penahan dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah. Ia dianggap sebagai sebagai rampas terbesar agensi penguatkuasa itu. – Roketkini.com