Berita

Utusan penghinaan sebenar ke atas kewartawanan Malaysia – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Akhbar UMNO, Utusan Malaysia disifatkan sebagai penghinaan sebenar terhadap bidang kewartawanan Malaysia apabila kerap bersikap berat sebelah dalam laporannya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia sekali lagi dibuktikan dengan keengganan akhbar itu menyiarkan kenyataan beliau bagi menjawab serangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai tuduhan ‘ali baba’ baru-baru ini.

“Sedangkan, Utusan Malaysia menyediakan hampir separuh muka surat untuk menyiarkan serangan Najib ke atas saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang merujuk ucapan Najib di Sabah hari Sabtu lalu, yang menuduh kononnya beliau mempunyai perjanjian rahsia dengan Tun Dr. Mahathir untuk menjadikannya Timbalan Perdana Menteri.

Sedangkan, Kit Siang sudah berkali-kali menangkis tohmahan itu dengan menyatakan tidak wujud apa-apa pakatan rahsia berhubung hal tersebut.

“Tidak ada perjanjian seperti itu kerana saya tidak pernah bincang dengan Mahathir siapa yang akan jadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan dan Bersatu kalahkan Umno BN pada pilihan raya nanti.

“Saya mencabar Najib menamakan tempat dan waktu kononnya saya dan Mahathir bermesyuarat itu,” ujarnya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu semalam menjawab serangan Najib dengan menyatakan Najib lah yang mempunyai kesepakatan ‘ali baba’ dengan jutawan terlibat skandal 1MDB, Jho Low.

Hubungan Najib-Jho Low ini, katanya, telah menyebabkan Malaysia digelar negara kleptokrasi dengan skandal kewangan terbesar dunia dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

“Saya secara spesifik telah menyoal Najib sama ada dia ada bertemu Jho Low semasa lawatan terakhirnya di China. Kenapa dia diamkan diri?

“Adakah Utusan berani menyiarkan jawapan saya terhadap Najib bahawa dia telah mencipta kesepakatan ‘ali baba’ terbesar dan terjahat dengan Jho Low?

“Dan adakah Utusan berani menyiarkan bahawa saya menganggap Najib telah menipu mengenai saya dan DAP, termasuklah pakatan rahsia yang tak wujud itu?” ujarnya. – Roketkini.com