Berita

Kem kesihatan DAP ringankan beban penduduk kampung di Tenom, Sabah

TENOM, 7 MAC: Akibat ketiadaan kemudahan kesihatan, penduduk di Kampung Alutok dan beberapa buah kampung di sini terpaksa membayar tambang bas mencecah RM30 dua hala untuk ke hospital.

Bagi penduduk Kampung Pangi pula, menaiki keretapi untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan urusan lain juga sudah menjadi rutin.

Ini berlaku akibat kegagalan kerajaan BN menyediakan kemudahan kesihatan luar bandar yang baik.

Justeru, tidak hairan apabila penduduk terpaksa bersusah-payah ke kawasan lain untuk mendapatkan kemudahan itu seperti di Ulu Tomani, Kemabong dan Hospital Tenom.

Demi meringankan kesukaran yang dihadapi penduduk, DAP Tenom dengan inisiatif Impian Sabah telah menganjurkan Kem Kesihatan bertempat di Kampung Alutok dan Kampung Pangi baru-baru ini.

Antara perkhidmatan yang diberikan ialah pemeriksaan umum kesihatan, perkhidmatan mencabut gigi, menampal gigi, mencuci gigi, konsultasi Indeks Jisim Badan (BMI) selain  ceramah kesihatan oleh sukarelawan bertauliah.

Penganjuran kem kesihatan pada kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh DAP Tenom yang diketuai oleh Grelydia Gillod, Pengerusi DAP Melalap dan Chong Shui Sang yang merupakan Pengerusi DAP Kemabong.

Kem Kesihatan tersebut mendapat sambutan luar biasa dari masyarakat setempat dengan penyertaan sekurang-kurangnya 430 orang pesakit.

Dalam satu kenyataan bersama Grelydia dan Shui Sang, penganjuran kem kesihatan di dua buah kampung ini turut mendapat penyertaan daripada penduduk kampung yang berlainan seperti Kampung Kaang, Kampung Lalang, Kampung Bakuku, Kampung Mahunsop, Kampung Malutut, Kampun Rayoh, Kampung Kolondos dan Kampung Batu 78.

“Ia disertai seramai 29 sukarelawan yang terdiri daripada dua orang pengamal perubatan (General Practitioner), seorang ahli farmasi, lapan orang pelajar perubatan, dua orang pelajar lepasan Pendidikan Pergigian yang datang dari Semenanjung, Kota Kinabalu, Sipitang dan Keningau.

“Penduduk-penduduk Kampung Alutok dan Kampung Pangie turut memberikan kerjasama yang mantap kepada pihak DAP Tenom dan Impian Sabah dengan menyediakan penginapan kepada para sukarelawan Kem Kesihatan termasuklah penyediaan makanan dan minuman,” kata kenyataan itu lagi. -Roketkini.com