Berita

Penyatuan pembangkang di Sabah mampu tewaskan BN dalam PRU14

SANDAKAN, 11 MAC: Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt yakin bahawa penyatuan pembangkang negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang mampu menewaskan Barisan Nasional.

Menurut beliau, walaupun DAP masih popular di kalangan masyarakat di bandar, rakyat dilihat mahukan perubahan di peringkat pentadbiran negeri.

Ini bermaksud, untuk membentuk kerajaan baru, pembangkang harus bersatu demi mengelakkan pertembungan kerusi yang akhirnya memenangkan calon BN, jelas Ahli Parlimen Sandakan itu.

“Kita dapat lihat jelas momentum rakyat sekarang ini nampaknya memang berharap untuk perubahan di peringkat pentadbiran negeri.

“Buat masa sekarang, mungkin jika Pakatan Harapan bersendirian, kita akan menghadapi saingan sengit dan mencabar, tapi jika kita boleh kerjasama, BN boleh tewas,” katanya kepada Roketkini.

Jelas Stephen, pintu kerjasama dengan parti pembangkang Sabah khususnya Warisan sentiasa terbuka.

“Kami sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai visi dan aspirasi perjuangan yang sama untuk menentang BN yang korup,” katanya lagi.

Sabah memiliki 25 kerusi Parlimen dan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri setelah DUN Sabah pada Ogos tahun lalu meluluskan penambahan sebanyak 13 lagi kerusi baharu.

Penambahan kerusi DUN Sabah itu dibuat berdasarkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan alasan pertambahan populasi penduduk di negeri itu. – Roketkini.com