Berita

Kerajaan mesti tepati janji jadikan Dewan Tunku Abdul Rahman tapak warisan

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Kerajaan mesti mengotakan janji untuk mewartakan semula Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) atau Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai bangunan warisan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming, berkata hal ini kerana kerajaan telah membatalkan gazet bangunan itu dan kawasan sekitarnya di sepanjang Jalan Ampang bagi membolehkan pembangunan dijalankan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming

Menurutnya, beliau telah membangkitkan hal tersebut di parlimen sebelum ini dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan kerajaan berjanji akan memperkenalkan semula status warisan untuk Dewan Tunku Abdul Rahman.

“Menteri juga beri jaminan lisan bahawa apa-apa pembinaan di tanah bersebelahan Dewan Tunku Abdul Rahman adalah sejajar dengan syarat yang ditetapkan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

“Ia termasuk mempunyai zon penampan sebagai perlindungan tapak warisan tersebut.

“Saya alu-alukan keputusan ini supaya bangunan penting dalam sejarah Malaysia dipelihara dan dilindungi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Kian Ming berkata beliau akan menunggu penyiaran notis awam secara rasmi yang mengesahkan Dewan Tunku Abdul Rahman ditetapkan sebagai tapak warisan.

“Notis pada 26 Januari lalu hanya menyatakan niat kerajaan dan bangunan itu belum lagi secara rasmi ditetapkan sebagai tapak warisan.

“Sebagai rakyat yang peduli tentang sejarah dan warisan negara, kita mesti teruskan usaha untuk melindungi tapak warisan, bukan saja di Wilayah Persekutuan tapi di seluruh negara,” katanya.

Dewan Tunku Abdul Rahman merupakan bangunan bersejarah yang menjadi tempat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pertama pada 1957, dan turut digunakan untuk mesyuarat parlimen pertama di Malaysia. – Roketkini.com