Berita

DAP Sabah julang tinggi martabat wanita, pertaruh lebih ramai calon dalam PRU14

KOTA KINABALU, 20 MAC: Satu lagi sejarah tercipta apabila pergerakan Wanita DAP Sabah dilancarkan setelah beberapa tahun DAP Sabah bekerja keras menarik minat golongan wanita aktif dalam politik.

Wanita DAP Sabah diketuai oleh Jannie Lasimbang, tokoh yang aktif dalam pelbagai program pemberdayaan masyarakat dan perjuangan hak Orang Asal serta pernah ke peringkat antarabangsa dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang

Dalam ucapannya, Jannie mahu supaya golongan wanita khususnya di Sabah dapat memberi sumbangan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara khususnya melibatkan dasar-dasar kerajaan, pendidikan dan ekonomi.

Majlis pada malam itu telah dirasmikan oleh Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Saudari Chong Eng di Kota Kinabalu Golf Club, dengan kehadiran sekitar 150 anggota wanita dan ahli.

Dalam ucapannya, Chong Eng menyeru Wanita DAP Sabah supaya berani menjadi pemangkin kepada perubahan dengan menyingkirkan segala penghalang dalam perjuangan memartabatkan hak wanita.

“Kita memang mampu bawa perubahan pada dunia dan masa depan untuk Malaysia yang lebih bersih! Bukan sekadar jatuhkan BN dalam pilihanraya tetapi kita juga bertekad jadikan wanita sebagai pemimpin.

Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Chong Eng

Turut hadir ialah Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua dan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt.

Kata Tony Pua, perjuangan untuk merapatkan jurang gender perlu dilipatgandakan untuk mewujudkan lebih ramai pemimpin wanita.

“Kita perlu kerja keras untuk kesaksamaan gender. Kita mahu ramai pemimpin wanita yang berkaliber untuk memimpin Malaysia,” tegasnya.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong pula berkata, DAP komited terhadap perjuangan mengangkat hak wanita dan mahu supaya wanita di Sabah menjadi agen perubahan.

“Kita berharap Jannie dan pasukan Wanita DAP Sabah akan mampu jana perubahan!” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Stephen ketika ditemui media selepas itu berkata DAP Sabah sedang berusaha untuk meletakkan calon wanita dalam pilihanraya akan datang dan Jannie merupakan salah seorang calon wanita yang berpotensi.

Turut menjadi tetamu khas malam itu ialah Timbalan Ketua Wanita DAP Kebangsaan, Mary Josephine, AJK Wanita, Yap Soo Huey, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin, ADUN Kepayan Dr Edwin Bosi dan seluruh kepimpinan DAP Sabah pelbagai peringkat.

Penubuhan wanita DAP Sabah ini merupakan kejayaan atas kerja keras DAP Sabah yang sebelum ini telah berjaya menubuhkan sayap wanita di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau. – Roketkini.com